Kuala Lumpur: Pengendali sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee optimis peluang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk bergelar juara Piala AFC pada 31 Oktober ini.

Katanya, pentas final pada sebarang kejohanan menyediakan peluang seimbang dua pasukan yang bertanding.

“Tidak mustahil Johor DT meraih kejuaraan. Apa saja boleh berlaku di pentas final walaupun beraksi di gelanggang lawan.

“Malah mereka mempunyai pemain yang berkualiti termasuk sejumlah pemain kebangsaan dan mampu memberikan tentangan sengit,” kata Kim Swee.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemaraan Harimau Selatan buat kali pertama di final pentas Asia bertemu kelab Tajikistan, FC Istiklol di Dushanbe.

“Pastinya ia satu perkembangan positif yang mampu menaikkan nama negara terutamanya selepas apa yang berlaku dalam bola sepak negara ketika ini.

“Saya yakin bukan saja penyokong Harimau Selatan mengharapkan kejuaraan, malah seluruh peminat bola sepak negara menaruh harapan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:44 AM