DAPATKAN pelali vaksin demam kepialu sebelum pergi bercuti.
DAPATKAN pelali vaksin demam kepialu sebelum pergi bercuti.

Demam kepialu atau tifoid adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi yang mencemari makanan atau minuman.

Pesakit demam kepialu membawa bakteria Salmonella typhi di dalam darah dan usus serta boleh mencemari orang lain melalui penyediaan makanan dan minuman.

Makanan bercengkerang seperti kerang, kepah, kupang, lala dan tiram adalah juadah biasa dikaitkan dengan demam kepialu.

Sayuran mentah seperti ulam dan salad serta cendol dan susu mentah juga turut dikaitkan dengan penyakit itu.

Demam ini boleh dijangkiti dan pesakit akan mengalami simptom seperti demam, sakit perut dan sakit kepala yang mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu.

Komplikasi yang mungĀ­kin timbul jika ia tidak dirawat ialah perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak dan psikosis.

Oleh itu, tip melancong minggu ini menyenaraikan beberapa cara untuk mencegah demam kepialu ketika bercuti sama ada di dalam atau di luar negara.

1) Basuh tangan

Basuh tangan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan. Ini penting kerana penyakit ini dibawa oleh bakteria Salmonella typhi dalam darah dan usus sekali gus mencemari makanan dan minuman melalui penyediaannya.

2) Makan makanan yang dimasak sepenuhnya

Ketika mencari makanan di destinasi percutian, pastikan ia dimasak sepenuhnya. Elak makanan dan minuman berisiko seperti sayuran mentah atau ulam, buah-buahan, makanan daripada penjaja dan ais sepanjang berlakunya wabak ini.

3. Minum air masak/mineral

Pastikan air yang diminum sudah dimasak atau dibotolkan seperti air mineral. Elakkan juga ais kecuali jika mengetahui ia dibuat daripada air yang sudah dimasak atau air dibotolkan.

4) Dapatkan pelali vaksin demam kepialu

Mendapatkan vaksin demam kepialu sangat penting terutama berkunjung ke negara atau tempat berlakunya wabak ini.

Tanya doktor anda bila masa sesuai untuk mengambil vaksin ini sebelum bercuti. Mengambil vaksin tambahan lain yang bersesuaian juga digalakkan sebelum bercuti.

5) Dapatkan rawatan doktor

Jika demam berterusan dan berpanjangan dengan suhu melebihi 40?C, cirit-birit, sembelit, sakit perut, sakit kepala, sakit badan dan kurang selera makan, anda perlu mendapatkan rawatan doktor.

Batuk tanpa kahak, denyutan jantung perlahan (bradycardia), ruam dengan bintik merah pada bahagian atas badan dan bengkak limpa serta hati juga gejala daripada demam kepialu.

Oleh itu, jika mengalami gejala ini, segera dapatkan rawatan doktor di mana pun anda berada ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 11:12 AM