PENYEDIAAN makanan tidak bersih dan sempurna boleh menyebabkan keracunan makanan. - FOTO Google
PENYEDIAAN makanan tidak bersih dan sempurna boleh menyebabkan keracunan makanan. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMADAN tahun lalu digemparkan dengan tragedi puding buih menyebabkan 99 orang dirawat akibat keracunan makanan selepas makan puding buih yang dibeli secara dalam talian.

Seorang daripada mangsa meninggal dunia akibat komplikasi yang teruk.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, keracunan makan boleh terjadi disebabkan oleh penyediaan makanan tidak sempurna dan bersih.

Menurutnya, sebagai contohnya, telur dan daging ayam berisiko menyebabkan jangkitan oleh bakteria salmonella.

"Apabila telur atau daging ayam tidak dicuci bersih atau tak dimasak sempurna, individu boleh mendapat keracunan salmonelosis.

"Contoh bakteria lain ialah 'Staphylococcus aureus' yang selalunya berkaitan dengan makanan seperti kuih kastad dan puding.

"Jangkitan 'Bacillus cereus' pula berkaitan dengan nasi goreng yang disimpan lama.

"Kuman jenis 'campylobacter jejuni' pula disebabkan makan daging mentah atau separa masak," katanya.

BELI makanan di gerai yang bersih apabila mengunjungi bazar Ramadan.
BELI makanan di gerai yang bersih apabila mengunjungi bazar Ramadan.

Dr Nurul Azmawati berkata, satu lagi penyakit yang berkaitan dengan makanan ialah penyakit demam kepialu atau tifoid.

Jelasnya, kuman 'salmonella typhi', penyebab jangkitan tifoid, disebarkan daripada individu kepada individu lain melalui tangan yang dicemari najis.

"Pemeriksaan ke atas najis pembawa kuman ini mendapati ia boleh mengandungi bakteria 'salmonella typhi'.

"Sekiranya pembawa kuman ini tidak mencuci tangan dengan bersih selepas membuang air besar, risiko untuk menyebarkan bakteria kepada orang lain adalah amat tinggi, sekiranya dia mengendalikan makanan.

"Bagi pencegah penularan jangkitan tifoid, pihak berkuasa mewajibkan semua peniaga berdaftar dan pekerja pengendali makanan untuk mendapatkan suntikan vaksin tifoid," katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Nurul Azmawati, ia bukan bermaksud individu tidak berisiko mendapat keracunan makanan jika membeli daripada peniaga berlesen.

"Jangkitan seperti 'bacillus cereus' dan 'staphylococcus areus' (jenis Salmonella lain) berlaku kerana pengendali makanan tidak diberikan suntikan vaksin bagi jangkitan itu.

"Ramai yang berniaga di rumah adalah dalam kalangan peniaga sambilan yang rata-rata berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan," katanya.

PENIAGA makanan perlu mengambil suntikan tifoid. - FOTO Google
PENIAGA makanan perlu mengambil suntikan tifoid. - FOTO Google

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Usim, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, peniaga yang menjalankan perniagaan di rumah dinasihati mendaftar dengan pihak berkuasa.

"Apabila mendaftar, peniaga akan mengikuti kursus asas pengendalian makanan dan mendapat suntikan vaksin tifoid.

"Ini untuk memastikan makanan yang dijual berkualiti, selamat dan risiko keracunan makanan rendah," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan mewajibkan kursus pengendalian makanan dan suntikan vaksin tifoid kepada petugas penghantar makanan.

"Paling penting ialah mencuci beg galas tempat simpanan makanan di motosikal setiap hari.

"Sisa makanan yang terlekat atau tumpah hendaklah dibersihkan dengan segera sebelum menerima pesanan seterusnya.

"Pelanggan boleh membuat aduan sekiranya mereka meragui kebersihan diri atau makanan yang dihantar oleh petugas terbabit," katanya.

Langkah bagi mengurangkan risiko keracunan makanan

1. Memasak sendiri di rumah, rancang menu dan buat persediaan awal.

2. Tidak membeli makanan yang dikenal pasti rosak seperti berbau, berbuih dan berubah tekstur.

3. Tidak membeli makanan berisiko seperti puding buih dan kek tiramisu yang menggunakan telur mentah sebagai bahan.

4. Jangan teruskan pembelian sekiranya penjual makanan tidak menggunakan penyepit makanan untuk memindahkan kuih atau makanan daripada bekas ke plastik pembungkus,.

5. Lihat tangan dan kuku pengendali makanan. Sekiranya kuku mereka panjang, memakai aksesori keterlaluan seperti cincin dan gelang tangan semasa mengendalikan makanan, beli makanan daripada penjual lain.

6. Pastikan pengendali makanan memakai penutup kepala.

7. Untuk makanan seperti nasi kerabu, jangan beli daripada pengendali makanan yang menggunakan tangan untuk memecahkan keropok dan mengambil ulam-ulaman.

8. Beli hanya daripada peniaga makanan yang memaparkan lesen pengendali makanan termasuk pengesahan suntikan vaksin tifoid.

9. Tanya penjual bila makanan ini dimasak. Elakkan membeli makanan yang dimasak terlalu lama.

10. Jangan membeli makanan jika dalam keadaan terdedah. Ini berisiko untuk mendapat jangkitan bawaan lalat, pencemaran silang ataupun tercemar dengan bendasing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:37 AM