Mawar bersama Fizo  ketika majlis pelancaran Syampu by Mawar di Putrajaya.
Mawar bersama Fizo ketika majlis pelancaran Syampu by Mawar di Putrajaya.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Putrajaya: Aspirasi Mawar, anak syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd menjangkakan untuk menjual sehingga 50,000 botol Syampu by Mawar menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pemasaran dan Jualannya, Fizo Omar berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi memandangkan ia produk yang masih baru.

“Produk ini dihasilkan untuk wanita bertudung dan rumusannya sesuai untuk kulit kepala serta rambut wanita yang mengenakan hijab.

“Sebagai permulaan, kami meletakkan sasaran jualan 50,000 botol dan ia ditawarkan melalui ejen sedia ada,” katanya selepas majlis pelancaran Syampu by Mawar dan memperkenalkan wajah baru Fareeda, di sini.

Menurutnya, pihaknya turut memperkenalkan perapi dan serum rambut dalam masa terdekat.

“Perapi dan serum rambut ini akan melengkapkan produk penjagaan rambut di bawah Aspirasi Mawar dan kami hanya akan menawarkannya melalui ejen berdaftar dan di butik Fareeda,” katanya sambil menambah setakat ini, terdapat kira-kira 150 ejen Fareeda dan jumlahnya dijangka mencecah 500 sebelum hujung tahun ini.

Harga yang ditawarkan bagi syampu itu adalah RM35 bagi botol 250ml.

Sementara itu, Fizo berkata, FGRSB akan mengembangkan perniagaan dengan menawarkan produk kosmetik melalui satu lagi anak syarikat iaitu Fareeda Cosmetic.

“Produk pertama yang akan diperkenalkan ialah pencuci untuk lelaki di bawah label F12 dan lebih banyak produk akan ditawarkan termasuk alat solek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 6:06 AM