Iklan haram yang ditampal di  sekitar Kepong. FOTO Nabihah Kamal
Iklan haram yang ditampal di sekitar Kepong. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Kewujudan iklan haram di sekitar kawasan Kepong yang semakin berleluasa bukan saja mencacatkan pemandangan malah menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

Walaupun pelbagai penguatkuasaan dan pencegahan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT), individu atau kumpulan yang melakukan kegiatan itu masih berdegil apabil menampal iklan berkenaan di pokok berhampiran jalan atau menggunakan poster kecil yang dilekatkan pada tiang lampu dan papan tanda.

Lebih membimbangkan, iklan berkenaan rata-ratanya membabitkan promosi pinjaman ceti haram atau along, pusat urut selain ubat kuat lelaki dan alatan perangsang seks yang dikhuatiri mendatangkan kesan negatif terutama golongan belia serta kanak-kanak.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika dihubungi berkata, pihaknya menubuhkan Unit Banteras Iklan Haram demi mengatasi masalah itu.

"Setiap hari pihak kami menjalankan operasi banteras iklan haram secara berkala di seluruh kawasan Selayang termasuk Kepong.

"Bagaimanapun, individu atau kumpulan ini masih berdegil kerana selepas beberapa jam mereka akan bertindak menampal semula poster dan kain rentang di sekitar kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, orang awam boleh membuat aduan mengenai perkara berkenaan di talian 1800-222-677 atau email kepafa [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 10:47 PM