SUPERINTENDAN Abdul Rozak Muhammad (dua dari kiri) memeriksa poster iklan pinjaman tidak berlesen atau 'Ah Long' diturun dan ditanggalkan dalam operasi Vulture di IPD Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
SUPERINTENDAN Abdul Rozak Muhammad (dua dari kiri) memeriksa poster iklan pinjaman tidak berlesen atau 'Ah Long' diturun dan ditanggalkan dalam operasi Vulture di IPD Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
BERNAMA

Besut: Sebanyak 800 poster iklan pinjaman wang tanpa lesen 'Along' diturunkan dalam usaha mengekang aktiviti berkenaan daripada berleluasa, sekali gus mengelakkan masyarakat terjebak dengan sindiket pinjaman wang haram itu.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, Op Vulture yang dijalankan selama empat hari bermula 26 Mac lalu itu membabitkan semua kawasan di daerah Besut dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Daerah Besut (MDB).

"Polis dapati sindiket ini (Along) mengambil kesempatan ketika pandemik Covid-19 dengan menampal banyak poster di pelbagai lokasi untuk mendapatkan lebih ramai mangsa bagi membuat pinjaman mudah.

"Usaha ini diharap dapat mengekang aktiviti haram itu daripada terus berleluasa kerana jika tidak dibendung ia akan memberi kesan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut hari ini.

Abdul Rozak berkata, kawasan Kampung Raja mencatatkan jumlah poster paling banyak diturunkan iaitu 350 keping diikuti Kuala Besut (250 keping) dan Jertih (200 keping).

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan kepada polis sekiranya ternampak individu yang menampal poster atau iklan pinjaman wang tanpa lesen di sekitar daerah tersebut.

Katanya, tindakan menampal poster juga adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 29A(A) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda RM20,000, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:58 PM