ANGGOTA polis menanggalkan poster pinjaman ah long dalam Operasi Vulture di Gua Musang, malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA polis menanggalkan poster pinjaman ah long dalam Operasi Vulture di Gua Musang, malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


POLIS menanggal 280 poster tawaran pinjaman ah long tidak berlesen yang ditampal di sekitar bandar ini dalam Operasi Vulture, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, operasi selama dua jam bermula jam 9 malam itu membabitkan kawasan bandar lama dan bandar baru.

Katanya, pihaknya menanggalkan iklan yang ditampal di papan tanda jalan, pokok, bangunan dan premis perniagaan.

“Ini operasi kedua diadakan tahun ini dan nampaknya ada ah long yang masih berdegil terus menampal poster tawaran pinjaman mereka.

“Kita memang ada menerima laporan bahawa peminjam ditipu dan diugut jika gagal membayar pinjaman dalam tempoh dijanjikan.

“Apa yang lebih penting orang ramai jangan mudah mempercayai tawaran pinjaman tidak berlesen bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

Mohd Taufik juga memohon kerjasama orang awam sekiranya terlihat individu atau kumpulan menampal poster pinjaman wang haram itu agar menyalurkan maklumat terbabit kepada pihaknya.

“Kami akan banteras habis-habisan poster tawaran pinjaman tidak berlesen yang boleh menyusahkan orang ramai.

“Individu yang terbabit dengan aktiviti berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:55 AM