Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2016 dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara empat dan lima peratus diterajui oleh permintaan domestik.

Penggunaan swasta dijangka berkembang 6.4 peratus dan pelaburan swasta pula sebanyak 6.7 peratus manakala perbelanjaan kerajaan juga diunjur berkembang pada kadar sederhana.

Dari segi penawaran, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif.

Berdasarkan situasi ini, pendapatan kasar negara (GNI) per kapita dijangka meningkat 5.6 peratus daripada RM36,397 pada 2015 kepada RM38,438 pada tahun depan.

Ekonomi juga akan terus beroperasi dalam keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah empat peratus. Walaupun nilai ringgit menyusut, inflasi dijangka kekal rendah disumbangkan oleh harga minyak mentah yang rendah dan kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang kian mereda.

Unjuran pertumbuhan pada 2016 mengambil kira kebimbangan terhadap tahap kelembapan pertumbuhan negara pesat berkembang terutamanya, China. Kesan GST ke atas harga dijangka berkurang manakala ringgit yang semakin lemah boleh membawa kepada harga yang lebih tinggi dalam beberapa barangan yang diimport.

Pada 2016, inflasi dijangka berada dalam lingkungan dua hingga tiga peratus. Defisit fiskal diunjurkan terus berkurang kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada 2016.

Tahap hutang kerajaan juga dijangka kekal terkawal dalam had berhemat 55 peratus daripada KDNK.

Cabaran yang berlaku pada tahun ini dijangka berterusan pada 2016 antaranya ketidakstabilan pasaran kewangan, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan pertumbuhan perlahan ekonomi China yang memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi negara.

Bajet 2016 adalah belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) akan memberi penekanan kepada langkah mengukuhkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

RMK11 yang dilancarkan Mei lalu dengan tema ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ akan memastikan negara terus mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran luar yang lebih mencabar pada tahun ini termasuk pertumbuhan global yang menyederhana dengan pertumbuhan 5.3 peratus dalam separuh pertama tahun ini.

“Pembaharuan ekonomi, kewangan dan fiskal yang dilaksanakan beberapa tahun lalu mengukuhkan daya tahan ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran.

“Berikutan ketidaktentuan harga minyak mentah, kerajaan menyemak semula perbelanjaan dengan pengurangan sebanyak RM13.2 bilion berbanding peruntukan awal sebanyak RM273.9 bilion yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2015,” katanya.

Menurutnya, peranan sektor swasta kini lebih jelas dalam memacu pertumbuhan ekonomi dengan sektor awam memainkan peranan sebagai pemudah cara.

“Asas makroekonomi terus kukuh termasuk inflasi yang terkawal, pasaran kerja yang menggalakkan, rizab asing yang kukuh, lebihan akaun semasa dan tabungan negara yang tinggi.

“Sistem perbankan yang teguh dan pasaran modal yang pesat membangun terus menyediakan mudah tunai mencukupi untuk membiayai aktiviti ekonomi tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi Malaysia dijangka berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus bagi tahun ini dan terus berkembang pada tahun depan.

Menurutnya, mengambil kira ketidaktentuan pasaran, sasaran fiskal bagi tahun ini disemak semula dari tiga peratus kepada 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:06 AM