BERNAMA

Kuala Lumpur: Berikut intipati Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan.

- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.0-5.0 peratus pada 2017 memandangkan asas ekonomi kukuh negara ditambah dengan sokongan strategi dan program Bajet 2017

- Pertumbuhan dijangka disumbang daripada permintaan domestik, terutama perbelanjaan penggunaan swasta dan pelaburan swasta dijangka berkembang masing-masing pada 6.3 dan 5.8 peratus pada 2017

- Jurang tabungan-pelaburan dijangka mengecil kepada 0.5-1.5 peratus pada 2017 sejajar dengan aktiviti pelaburan yang rancak

- Inflasi dijangka kekal terkawal pada 2017, manakala ekonomi terus beroperasi di bawah guna tenaga penuh

- Semua sektor ekonomi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan menerajui pengembangan pada 2017

- Defisit fiskal dijangka bertambah baik kepada 3.0 peratus (RM40.3 bilion) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017. (2016: 3.1 peratus; RM38.7 bilion)

- Kutipan hasil kerajaan meningkat 3.4 peratus kepada RM219 bilion pada 2017, disumbang daripada kutipan hasil cukai tinggi, terutama cukai pendapatan syarikat

- Hasil berkaitan bukan minyak terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah hasil pada 2017, sebanyak 86.2 peratus, disumbang terutamanya daripada kutipan cukai barang dan perkhidmatan tinggi sebanyak RM40 bilion

- Malaysia akan terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan program dan projek mesra rakyat pada 2017

- Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 3.4 peratus kepada RM260.8 bilion pada 2017 daripada RM252.1 bilion tahun ini; 82.4 peratus (perbelanjaan operasi) dan baki (perbelanjaan pembangunan)

- Emolumen, komponen terbesar perbelanjaan operasi akan diperuntukkan RM77.4 bilion pada 2017

- Subsidi dan bantuan sosial akan terus disediakan dengan peruntukan RM22.4 bilion pada 2017

- Bagi perbelanjaan pembangunan, RM46 bilion akan diperuntukkan pada 2017; 56.2 peratus sektor ekonomi, sosial (26.5 peratus), keselamatan (11.5 peratus) dan pentadbiran am (5.8 peratus)

- Peruntukan bagi sektor ekonomi pada 2017 akan digunakan terutamanya bagi menaik taraf prasarana fizikal; menambah baik prasarana telekomunikasi dan tenaga terutamanya di kawasan luar bandar

- Sejumlah RM12.2 bilion akan diperuntukkan kepada sektor sosial bagi menyediakan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat pada 2017

- Sektor keselamatan yang terdiri daripada pertahanan dan keselamatan dalaman, akan disediakan peruntukan RM5.3 bilion pada 2017

- Bagi sektor pentadbiran am, RM2.7 bilion akan diperuntuk bagi menambah baik kemudahan kerajaan dan teknologi maklumat dan komunikasi di seluruh negara pada 2017

- Bagi tempoh separuh pertama 2016, ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 4.1 peratus, disokong aktiviti ekonomi domestik.

- KDNK negara dijangka berkembang antara 4.0 dan 4.5 peratus tahun ini dengan penggunaan isi rumah dan keseluruhan pelaburan kekal kukuh

- Jumlah perdagangan Malaysia dijangka cecah RM1.5 trilion pada 2016

- Permintaan domestik kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama pada 2016, berkembang 4.7 peratus

- Aliran masuk Pelaburan Langsung Asing bersih berjumlah RM23.8 bilion dalam tempoh separuh pertama 2016 berbanding RM26.7 bilion dalam tempoh yang sama pada 2015

- Pelabur domestik menyumbang 68.1 peratus kepada jumlah pelaburan dilulus bernilai RM88.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2016

- Harga minyak sawit mentah dijangka berada pada purata RM2,500 setan metrik tahun ini, memandangkan jangkaan peningkatan dalam pengeluaran dan keadaan cuaca tidak menentu

- Subsidi turun 9.6 peratus kepada RM24.6 bilion tahun ini berikutan komitmen kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi

- Perbelanjaan kerajaan akan menumpukan kepada program dan projek dengan pelbagai kesan besar kepada ekonomi

- Perbelanjaan operasi turun 4.5 peratus kepada RM207.1 bilion tahun ini berikutan langkah mengoptimum dan merasionalisasikan bekalan, perkhidmatan, geran, subsidi dan pembelian aset

- Dasar monetari Malaysia terus menumpu kepada kestabilan harga dan pertumbuhan mampan, memandangkan risiko dalam ekonomi global

- Malaysia menerajui sukuk global, menyumbang 53.4 peratus atau US$180 bilion daripada nilai sukuk global pada akhir Jun 2016

- Sistem perbankan Malaysia mengeluarkan bayaran pinjaman berjumlah RM598.5 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016

- Industri perbankan Islam berkembang pesat dalam tempoh lima tahun lalu, dengan aset meningkat kepada RM685.4 bilion berbanding RM351.2 bilion pada akhir

2010

- Jumlah akaun deposit dan pelaburan Islam daripada sistem perbankan Islam meningkat 9.6 peratus kepada RM580.7 bilion sepanjang tempoh Jan-Julai 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 4:25 PM