PEMENTASAN Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bertindih jadual projek lain.
PEMENTASAN Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bertindih jadual projek lain.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Nama pelakon popular, Remy Ishak disebut-sebut untuk mendukung satu watak utama dalam pementasan teater Tenggelam­nya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya.

Bagaimanapun ketika majlis mengumumkan senarai pelakon teater yang diangkat daripada karya besar Prof Dr Hamka atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah pada Ogos lalu, nama Remy tidak tersenarai.

Antara pelakon bakal menjayakan pementasan besar itu pada 12 hingga 18 Oktober depan ialah Nabila Huba sebagai Hayati, Amar Baharin (Zainuddin), Syarul Ridzwan (Muluk) dan Amyra Rosli (Khatijah).

Remy yang nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, mengaku sebelum ini menerima tawaran daripada Istana Budaya yang mahu dia terbabit dengan pementasan Tenggalamnya Kapal Van der Wijck.

Bagaimanapun, dia yang ditemui baru-baru ini berkata, ia sekadar lamaran cakap mulut kerana selepas itu tiada proses lanjut dilakukan.

“Saya pula waktu itu terikat dengan projek lain yang harus dilaksanakan. Apabila tawaran rasmi dibuat Istana Budaya dan penerbit teater terbabit, saya tidak dapat terima kerana sudah memberi persetujuan untuk melaksanakan projek yang diperbincang lebih awal,” katanya.

Timbul juga cerita mengatakan Remy menolak untuk membintangi teater itu kerana ia bukan arahan Erma Fatima. Sebelum itu, timbul ura-ura mengatakan pengarah yang kini popular dengan watak dan drama Mok Cun, menjadi penulis skrip dan mengarahkan teater yang pernah difilemkan produksi Indonesia sebelum ini.

Tambah pula Remy terikat dengan drama arahan Erma.

Kata Remy, perkara itu memang tidak wujud sebaliknya sebab utama dia menolak membintangi teater terbabit kerana bercanggah jadual dengan sesi latihan dan pementasan bakal berlangsung.

“Kalau saya boleh buat pun, sebagai pelakon tentu saya perlu lihat dulu skrip dan siapa pengarahnya. Namun untuk tawaran ini, saya benar-benar terikat dengan penggambaran drama,” katanya.

Kata Remy, dia terharu dan berterima kasih atas kepercayaan diberikan. Malah banyak maklum balas diberikan peminat yang mengatakan mereka teringin melihat dia menjayakan watak utama pementasan ini.

“Ramai juga aktivis teater yang datang bertemu saya dan meletak harapan saya menerima tawaran terbabit. Secara jujur, memang saya teringin menjayakan pementasan yang diangkat dari karya hebat nukilan Hamka.

“Tambah pula karya terbabit pernah difilemkan produksi seberang dan ia dianggap sangat berjaya. Saya tidak sabar mahu lihat bagaimana produksi mementaskan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.

“Saya teruja tetapi sudah tertulis ia bukan rezeki saya,” katanya.

Remy yang turut berlakon dalam filem Bravo 5 yang ditayang­kan di pawagam sejak Khamis lalu, mengharapkan karya yang mengangkat kisah patriotik lima anggota komando (Rejimen Gerak Khas) itu mendapat sambutan daripada penonton tempatan.

Menjayakan watak Leftenan Azri, Remy akui sudah lama tidak ada filem yang mengangkat tema patriotik dan perjuangan anggota keselamatan di medan perang.

“Kali terakhir jika tidak salah saya, Leftenan Adnan. Sayang sekiranya filem ini tidak ditonton kerana selain mengangkat tema patriotik ia turut memaparkan aksi-aksi menarik yang mungkin tidak pernah diketahui masyarakat umum bagaimana anggota keselamatan kita mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Berkongsi pandangan mengenai sambutan lesu masyarakat terhadap filem tempatan, kata Remy, sebagai pelakon dia boleh saja tidak memikirkan perkara itu tetapi sebagai penggiat, dia turut bimbang dan cuba membantu karya dibintangi mendapat sambutan.

“Apabila ada sambutan, bermakna industri akan berterusan. Saya mengharapkan kelainan yang ditampilkan Bravo 5 akan menjadi tarikan penonton untuk datang ke panggung.

“Mungkin selama ini kebanyakan penonton bosan dengan lambakan filem bertemakan komedi atau komedi romantik.

“Jika mereka menunggu filem berbeza tema seperti Bravo 5 yang mengetengahkan aksi sebenar peperangan dan realiti kehidupan mereka yang bertugas untuk mempertahankan kemakmuran negara, inilah masanya ramai-ramai turun ke panggung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:02 AM