RASHID (berdiri empat dari kiri) bersama barisan pelakon.
RASHID (berdiri empat dari kiri) bersama barisan pelakon.
SESI latihan teater ini.
SESI latihan teater ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka bukanlah asing dalam kalangan peminat teater tempatan.

Teater ini juga pernah dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 2015 arahan Azhar Zainal yang menampilkan pelakon antaranya Amar Baharin, Nabila Huda dan Karl Shafek.

Terbaru, pelajar Universiti Malaya (UM) akan mementaskan teater ini dengan diarahkan Rashid Shikh Abdullah pada 9 dan 10 Mei depan.

Pementasan di Panggung Eksperimen UM yang boleh dianggap antara panggung teater tertua negara dan terbesar satu ketika dahulu ini akan menampilkan 20 pelakon terdiri daripada pelajar pelbagai fakulti di UM.

Rashid berkata, mengerjakan naskhah ini adalah tugas yang sangat mencabar.

“Saya perlu meneliti setiap bait kata dalam naskhah ini supaya maksud yang ingin disampaikan pengarang dapat disampaikan kepada penonton.

“Tanggungjawab saya sememangnya berat kerana kita sedia maklum, naskhah ini sangat dinantikan orang ramai terutama pengikut novel ini,” katanya.

Pendokong watak utama adalah Afiqah Harun sebagai Hayati dan Farhan Kamal sebagai Zainuddin.

Afiqa adalah pelajar yang dinilai dalam pengkhususan lakonan dalam produksi ini.

“Pemilihan pelakon yang tepat sangat penting kerana pelakon bertindak sebagai penyampai naskhah kepada penonton.

“Penetapan pelakon berdasarkan kesesuaian watak. Dalam produksi ini, bukan sahaja membabitkan siswa UM, namun ada juga di antara mereka pelajar serta bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” katanya.

Menurutnya, dia berpuas hati kerana sepanjang proses latihan, pelakon memberikan komitmen yang terbaik dan berusaha untuk mendalami serta memahami karakter masing-masing.

Memandangkan produksi berdepan kekangan dana, Rashid memilih menggunakan konsep minimalis dalam pementasan ini iaitu tanpa set tetap.

Bagaimanapun, konsep cerita yang ditampilkan tetap realisme.

“Kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi. Apa yang dipertaruhkan dalam pementasan ini adalah lakonan, pencahayaan, penceritaan dan keindahan naskhah.

Walaupun bajet kecil, namun jiwa pelakon dan tenaga produksi adalah besar,” katanya.

Tiket untuk menonton teater ini berharga RM10 dan RM20 dan boleh didapati di luar Panggung Eksperimen pada hari pementasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 5:17 AM