Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran meraih dua pingat gangsa di Kejohanan Remaja Dunia 2015 Peru yang akan berlangsung 4 hingga 15 November.

Menurut Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar), mereka tidak meletakkan sasaran khusus pemain yang bakal memperoleh dua pingat itu kerana sesiapa saja boleh meraihnya.

Pemain perseorangan lelaki yang akan beraksi di kejohanan ini ialah Yeoh Seng Zoe, R Satheistharan Lee Zii Jia dan Cheam June Wei, manakala perseorangan wanita Goh Jin Wei, M Thinaah, Lee Ying Ying dan Ng Qi Xuan.

Beregu lelaki pula akan dipikul Tan Jinn Hwa-Goh Sze Fei dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala beregu wanita Teoh Mei Xing-Anna Cheong dan Thinaah-Qi Xuan.

Sze Fei-Mei Xing dan Wooi Yik-Anna akan turut membawa cabaran acara beregu campuran, manakala jurulatih yang akan mengiringi skuad ini Kwan Yoke Meng, Rony Agustinus dan Lim Pek Siah.

Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata, skuad remaja itu menunjukkan kekuatan dari semasa ke semasa dan mereka juga sudah mengadakan latihan tambahan sebelum berlepas ke Peru.

“Kita sudah tentu mengharapkan June Wei menyerlah dan saya percaya perseorangan lelaki dan wanita mempunyai peluang yang baik di Peru,” katanya sambil memberitahu mereka akan mengadakan latihan pusat seminggu sebelum bertolak ke Peru.

Skuad remaja dijangka bertolak pada 30 Oktober dan bakal berdepan perjalanan jauh ke benua Amerika Selatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:07 AM