Kuala Lumpur: Pengurus Pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kwan Yoke Meng meletakkan sasaran awal untuk anak buahnya sekurang-kurangnya perlu mara ke separuh akhir bagi acara berpasukan campuran, perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki di Kejohanan Remaja Dunia yang bermula hari ini.

Menurutnya, sasaran mara ke separuh akhir lebih realistik walaupun Goh Jin Wei (gambar) adalah juara bertahan dalam acara perseorangan wanita di kejohanan yang sama tahun lalu yang berlangsung di Lima, Peru.

“Sebenarnya kita tidak mahu memberikan terlalu banyak tekanan dan meletakkan harapan yang tinggi kepada Jin Wei. Cukup hanya mara ke separuh akhir terlebih dulu begitu juga dalam acara berpasukan campuran, perseorangan dan beregu lelaki,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam pada itu, persiapan skuad remaja negara di Bilbao, Sepanyol sedikit terjejas apabila pemain beregu lelaki, Soh Wooi Yik mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan.

“Kecederaan dialami Wooi Yik tidak merisaukan kerana kita mempunyai beberapa pilihan dan juga kemampuan setanding,” kata Yoke Meng.

Selain Jin Wei dan Wooi Yik, Malaysia menyenaraikan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Sim Fong Hau (perseorangan lelaki), Ooi Zi Heng, Hoo Pang Ron-Ameer Amri Zainuddin, Chen Tang Jie-Man Wei Chong (beregu lelaki), M Thinaah (perseorangan wanita), Toh Ee Wei-Pearly Tan Koong Le, Tan Sueh Jeou.

Bagi acara beregu campuran, Tang Jie akan berpasangan bersama Ee Wei manakala Pang Ron digandingkan dengan Sueh Jeou.

Tahun lalu, Jin Wei muncul juara acara perseorangan wanita selepas menumpaskan rakan senegara, Lee Ying Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 10:10 AM