Kuala Lumpur: Penilaian terbaru ke atas penarafan kredit Malaysia oleh Fitch Ratings adalah pengiktirafan terhadap usaha berterusan kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur bagi membina sebuah ekonomi yang mapan, inklusif dan berdaya saing.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, ia juga mencerminkan asas ekonomi kukuh dan kedudukan kewangan mantap negara.

“Pengesahan dengan prospek stabil itu mencerminkan pandangan yang adil dan seimbang terhadap komitmen kerajaan kepada dasar makroekonomi yang kukuh dan pembaharuan fiskal,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang negara pada ‘A-’ dan menyemak semula prospek dengan menaikkan kepada stabil daripada negatif.

Irwan Serigar berkata, dengan pengesahan itu, Fitch mengiktiraf pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan, seperti rasionalisasi subsidi dan pempelbagaian hasil, terutamanya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kerajaan terus berazam untuk mengukuhkan kewangan awam dan akan terus berada di landasan pengukuhan fiskal bagi mencapai bajet berimbang menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, program transformasi kerajaan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat.

“Inisiatif-inisiatif ini akan diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas bagi mengubah Malaysia menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, inklusif dan mapan,” katanya.

Meskipun kebimbangan Fitch akan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Irwan Serigar berkata penjelasan mengenai pelan dan opsyen rasionalisasinya termasuk pengewangan asetnya, jelas menunjukkan 1MDB tidak akan membawa risiko sistematik kepada sektor kewangan.

“Walau apa pun cabaran dalam persekitaran luar, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan sektor swasta memacu pertumbuhan,” katanya.

Keyakinan pelabur masih kukuh seperti yang dilihat dalam lebihan langganan terbitan sukuk AS$1.5 bilion Malaysia pada April 2015. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 10:56 AM