KAMAL diiringi polis di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru.
KAMAL diiringi polis di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru.

Johor Bahru: Kira-kira 40 individu berhimpun secara aman di depan Mahkamah Tinggi di sini, semalam bagi membantah keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan ikat jamin terhadap peguam Kamal Hisham Ja’afar, 45

Ketua Pemuda MIC negeri S Deva berkata, bantahan individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu antara lain bagi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kamal Hisham yang menjatuhkan nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di laman sosial.

“Ini luahan suara kami dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakannya (Kamal Hisham) yang melambangkan dia tidak hormat terhadap institusi diraja Johor dan mahu hukuman setimpal dikenakan atas perbuatannya sebagai pengajaran,” katanya.

Deva serta beberapa yang lain kemudian masuk ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar keputusan semakan terhadap ikat jamin yang dibenarkan terhadap Kamal Hisham.

Dalam prosiding semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kamal Hisham ditahan di Pusat Tahanan Ayer Molek di sini, sehingga perbicaraan kes terhadapnya selesai.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas membuat semakan terhadap ikat jamin yang diberikan kepada Kamal Hisham oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, berlaku kekhilafan dalam pemberian ikat jamin yang dibenarkan Mahkamah Sesyen selepas melihat hakim mahkamah itu tidak mempertimbangkan hujah pendakwaan berkaitan kecenderungan tertuduh untuk melarikan diri.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati berlaku kekhilafan yang mana Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan tentang kecenderungan tertuduh untuk melarikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:04 AM