Zawawi (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam tiga serbuan di Tumpat dan Pasir Mas antara 30 Ogos sehingga semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Zawawi (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam tiga serbuan di Tumpat dan Pasir Mas antara 30 Ogos sehingga semalam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai hampir RM3 juta termasuk cukai, dalam tiga serbuan di Tumpat dan Pasir Mas antara 30 Ogos hingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Abdullah Zawawi Abd Latif berkata, pihaknya merampas lebih 55,000 karton rokok seludup iaitu 14,390 karton dalam serbuan 30 Ogos lalu di Kampung Pak Keral, Tumpat, manakala rampasan pada 3 September di Kampung Berangan, Tumpat (40,450 karton) dan dan semalam di Kampung Repek, Pasir Mas (1, 487 karton).

“Kesemua rokok seludup itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum dijual kepada warga asing dengan harga sekitar RM7 sekotak.

"Selain rokok, kita juga merampas dua lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima bernilai RM100,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda 10 kali ganda nilai cukai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 4:31 PM