Kuala Lumpur: Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) mengenal pasti 14 syarikat di bawah Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) yang bertujuan meningkatkan keupayaan dan kapasiti usahawan Bumiputera bagi membekalkan barangan serta perkhidmatan berkualiti pada harga berdaya saing.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, sebagai sebuah daripada 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, CCM berbangga memainkan peranan dalam mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi di negara ini.

“Sebagai peneraju dalam industri farmaseutikal, bahan kimia dan baja, kami yakin CCM berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan usaha ini. Sejajar dengan visi ‘Meningkatkan Kualiti Kehidupan’, kami berusaha menyokong pembangunan vendor yang terbabit dengan syarikat.

“Melalui usaha ini, kami berharap untuk mengukuhkan jenama di dalam mahupun di luar negara.

“Organisasi berusaha memupuk minat dan menggalakkan pembabitan saksama usahawan Bumiputera dalam sektor ekonomi seperti digariskan dalam Peta Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri pada 2011,” katanya pada majlis penyampaian sijil BVDP, baru-baru ini.

Program BVDP kendalian CCM yang bermula 1 Januari lalu dilihat menyokong aspirasi kerajaan bagi mewujudkan Komuniti Perindustrian dan Komersial Bumiputera (BCIC) di bawah Dasar Pembangunan Negara.

Menerusi program ini, semua 14 syarikat bukan sahaja berpeluang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada CCM untuk tempoh tiga tahun, malah prestasi mereka sepanjang program akan dipantau.

Usaha sama ini bakal menyaksikan SME Bank menawarkan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak menerusi skim pembiayaan bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 6:23 AM