Najib  bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Perdana Putra, semalam.
Najib bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Perdana Putra, semalam.
BERNAMA

Putrajaya: Lapan kementerian berjaya mencapai sasaran 100 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi tahun lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kementerian itu ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pencapaian KPI itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang pertama sejak pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi 2.0 dan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) pada 19 April lalu di sini, semalam.

Beliau berkata, 93 KPI PEB, yang diperakukan MEB, yang mempunyai impak tinggi, lebih bersifat berasaskan hasil dengan sasaran yang lebih tinggi ditetapkan untuk 25 kementerian, termasuk Jabatan Perdana Menteri bagi tahun lalu.

“Kita mengambil maklum 23 kementerian mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus sasaran KPI yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, antara pencapaian utama PEB kementerian dan agensi bagi 2016 adalah apabila 63.8 peratus nilai anggaran kerja tahunan diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera dalam projek pembinaan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Duta Ulu Klang Expressway 2 (DUKE2), Lebuhraya Ekspres Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Yang lain ialah nilai kontrak RM1.48 bilion diberikan kepada syarikat Bumiputera bagi Projek KL118 Tower (Warisan Merdeka), peningkatan penglibatan syarikat Bumiputera dalam Program Pembangunan Vendor, peningkatan peratusan Bumiputera dalam pemilikan unit kediaman rumah dan secara kumulatif, jumlah keseluruhan perolehan koperasi Bumiputera meningkat kepada RM31 bilion dengan peningkatan RM2.44 bilion pada tahun lalu.

Najib berkata KPI PEB Kementerian untuk tahun ini pula selari dengan strategi dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0. Beliau berkata, 125 KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera diperakukan MEB bagi semua kementerian dan Jabatan Perdana Menteri yang berimpak tinggi dan bersifat ‘berasaskan keputusan’ yang ditetapkan.

“KPI Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) bagi 2017 akan memberi tumpuan khusus dalam bidang pembangunan vendor, rantaian bekalan Bumiputera dalam sektor strategik, program latihan di bawah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), pembangunan rumah mampu milik serta pengenalan dan penambahbaikan polis bagi pengagihan khusus dan pemerolehan Bumiputera,” katanya.

Bagi pencapaian KPI 2016 membabitkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan terpilih (G20), Najib memaklumkan bahawa lima GLIC and 17 G20 mempamerkan tahap kematangan dengan hasil positif dan lebih memberangsangkan sejak program itu dilaksanakan pada 2014.

Di bawah pelaksanaan KPI BEA GLIC dan G20, tujuh bidang utama terlibat ialah program pembangunan vendor, syarikat utama untuk rantaian bekalan pengagihan khusus, modal insan, pemilikan aset bukan kewangan, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat serta pemerolehan.

“Antara pencapaian utama yang dicatatkan pada tahun lalu menyerapkan 72 vendor baru ke dalam Program Pembangunan Vendor berbanding 49 vendor baru pada 2015, melatih lapan vendor bertaraf jaguh nasional dan satu vendor bertaraf jaguh serantau, melatih 11,888 siswazah di bawah SL1M berbanding 6,422 pada 2015,” katanya.

“Selain itu, membina 3,476 rumah mampu milik berbanding 213 rumah pada 2015 dan nilai pemerolehan dari syarikat Bumiputera berjumlah RM13.4 bilion berbanding RM11.8 bilion pada 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 3:33 AM