MOHAMAD
MOHAMAD
Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) komited melahirkan lebih ramai syarikat berstatus ‘Jaguh Serantau’ dalam kalangan vendor tempatan menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP), tahun ini.

Peneraju konvergens negara dan penyedia perkhidmatan komunikasi berintegrasi pertama di Malaysia itu optimis usaha berkenaan dapat dilaksanakan menerusi kerjasama vendor dengan syarikat tempatan dan organisasi antarabangsa.

Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan TM Mohamad Mohamad Zain berkata, pelaksanaan TM BVDP yang ditubuhkan pada 1993 adalah untuk memastikan vendor TM khususnya vendor Bumiputera bergerak selari bersama visi dan strategi perniagaan TM di samping menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang mencabar.

“Setakat ini, lebih 400 vendor dilengkapkan dengan latihan dan pembangunan, program peningkatan kemahiran serta akses kepada pasaran.

“Buat masa ini, 105 vendor menyertai program ini dan di bawah ekosistem TM BVDP, ia mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan,” katanya pada taklimat media Program Pembangunan Vendor Bumiputera (PPVB), Pencapaian Agenda Pemerkasaan Bumiputera dan Jaguh Nasional di sini, semalam.

Mohamad berkata, menerusi program berkenaan, TM mengagihkan hampir RM7 bilion nilai kumulatif kontrak kepada vendor Bumiputera di negara ini bermula 2014 hingga 2017.

Bagi tempoh sama katanya, lebih RM2 bilion nilai pendapatan dikumpulkan vendor terbabit dalam program itu.

Beliau berkata, mulai 2014, TM BVDP terus dipertingkatkan dengan kolaborasi berterusan dan sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menubuhkan program lebih berstruktur dan peruntukan dana khas di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

“Sejumlah RM60 juta diperuntukan kepada Program Pembangunan dan Pemerkasaan Vendor (PPPV).

“Dengan matlamat kami untuk melahirkan Jaguh Korporat di peringkat nasional, serantau dan global, adalah penting bagi TM dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) saling bekerjasama demi pembangunan vendor Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 12:31 AM