Oleh Hayati Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dibawa lebih dekat kepada pasaran sama ada di peringkat tempatan atau serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia bagi memastikan usahawan ini memperoleh pendapatan lebih besar.

"Biasanya jika berada jauh dari pasaran mereka hanya memperoleh sebahagian kecil sahaja pendapatan.

"Jadi, mereka perlu dibawa lebih dekat kepada pasaran dengan mewujudkan satu cara atau kaedah untuk meningkatkan hasil jualan golongan ini, dan Karnival Usahawan Desa (KUD) ini satu daripada contohnya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015 di Presint 3, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Najib berkata, dua konsep perlu ditanamkan dalam diri bakal usahawan PKS adalah mencari bidang perniagaan yang boleh menjana kekayaan dan nilai.

Katanya,kedua adalah tidak bergantung kepada konsep makan gaji sebaliknya mereka yang menjana pekerjaan.

KUD adalah projek dibawah program pemasaran untuk memperkenal, mempromosi dan memperluaskan akses pasaran yang akan dapat memartabatkan produk atau perkhidmatan luar bandar melalui gabungan pelbagai strategi pemasaran dalam satu tempoh.

Ia memberi tumpuan utama terhadap aktiviti mencipta peluang pasaran seperti pemadanan perniagaan, mempelbagaikan jaringan perniagaan di samping meningkatkan semangat daya saing di antara usahawan melalui prinsip promosi, produk, penempatan dan penetapan harga berteraskan konsep pemasaran 4P (Kotler's Marketing Mix).

Program ini diadakan selama lima hari bermula semalam hingga 6 September dan menghimpunkan lebih 700 usahawan desa dari seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 4:22 PM