PENGURUS Operasi Fatisha, Rusila Yusof menunjukkan produk Kit Gyomi!i.
PENGURUS Operasi Fatisha, Rusila Yusof menunjukkan produk Kit Gyomi!i.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi KUD 2015.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi KUD 2015.
SEBAHAGIAN yang menghadiri majlis perasmian KUD 2015.
SEBAHAGIAN yang menghadiri majlis perasmian KUD 2015.
USAHAWAN, Abdul Rahman Sani (kiri) menunjukkan kertas yang diperbuat daripada serat batang pisang kepada pengunjung.
USAHAWAN, Abdul Rahman Sani (kiri) menunjukkan kertas yang diperbuat daripada serat batang pisang kepada pengunjung.
Oleh Mohamad Hussin


Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015 yang diadakan di Presint 3, Putrajaya, baru-baru ini berjaya menarik lebih sejuta pengunjung, sekali gus mencapai sasaran jualan melebihi RM4 juta.

Karnival anjuran Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar (KKLW) berjaya menarik lebih 700 usahawan desa daripada pelbagai sektor sepanjang program lima hari itu berlangsung.

KUD dirancang dan dilaksanakan bagi memperkenalkan, mempromosi dan memperluaskan akses pasaran, memartabatkan produk serta perkhidmatan luar bandar.

Ia juga bagi meneroka peluang pasaran baru dan lebih besar dengan pengurusan pemasaran secara sistematik dan meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran produk serta perkhidmatan luar bandar.

KUD 2015 memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk memperluaskan akses pasaran produk atau perkhidmatan luar bandar melalui gabungan pelbagai strategi pemasaran dalam satu program.

Lebih 20 produk atau perkhidmatan baru ditawarkan oleh usahawan luar bandar turut diketengahkan daripada pelbagai kategori.

Pengunjung dapat berjumpa dengan usahawan sendiri dan me­nyaksikan inovasi dan perkembangan produk luar bandar termasuk dari segi penjenamaan, pembungkusan dan analisis pasaran bagi meninjau penerimaan pasaran terhadap produk dan perkhidmatan luar bandar.

Usahawan terbabit terdiri daripada tujuh sektor perniagaan utama membabitkan produk seperti pelancongan desa, kesihatan, herba, produk organik, kosmetik, kecantikan, aksesori, hiasan, pakaian, kraftangan, seni, budaya, makanan dan minuman serta pertanian dan penternakan.

Majlis perasmian disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta dua timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Najib dalam ucapan perasmian berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan hasil pertanian perlu dibawa lebih dekat kepada pasaran sama ada di peringkat tempatan atau serantau bagi memastikan usahawan terbabit memperoleh pendapatan lebih besar.

“Selain membawa produk kepada pasaran secara fizikal, kementerian atau pihak berkenaan perlu mewujudkan satu kaedah bagi memastikan jumlah hasil jualan sesuatu barangan dapat ditingkatkan dengan sebahagian besar pendapatan dikembalikan kepada pengusaha PKS.

“Satu daripada caranya mengadakan karnival seperti ini (KUD 2015), kita mesti membawa pasaran menghampiri pengeluar secara fizikal, jadi produk dijual dan pendapatan itu sebahagian besar peratusannya mengalir ke tangan pengusaha PKS atau petani,” katanya.

Beliau berkata, usahawan dalam bidang PKS perlu berani mencabar diri dengan menceburi bidang perniagaan yang tidak terfikir oleh orang lain untuk menjana pendapatan jauh lebih besar.

“Mereka juga perlu menghindari sikap suka ‘makan gaji’, sebaliknya mencabar diri untuk menjana pekerjaan, selain menjadi lebih kreatif serta inovatif dalam bidang yang diceburi.

“Jangan ceburi bidang perniagaan yang sudah ramai pengusaha membuat produk atau menyediakan perkhidmatan sama di satu tempat kerana pendapatan bakal diperoleh mungkin kecil, mendatar dan lebih membimbangkan pendapatannya kemungkinan akan melebihi kos perniagaan.

“Jadi kita mesti mencari bidang perniagaan yang boleh menjana kekayaan dan nilai, pada masa sama, mereka perlu ada sikap mahu menyediakan pekerjaan (kepada orang lain) dan bukannya mencari kerja untuk diri sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan Anugerah Cemerlang Pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) bagi kategori Pengembangan Perniagaan (PP) kepada pengusaha Ladang Alam Warisan Negeri Sembilan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, 34, yang membawa pulang geran RM1.5 juta.

Dua lagi usahawan yang menerima Anugerah Cemerlang ialah pengusaha projek jambu batu, Mohd Shahiran Mat Hassan, 37, dan pengusaha bengkel cat kenderaan, Mohd Syafiq Drahman, 28, masing-masing menerima geran bernilai RM1 juta.

Sempena karnival itu, KKLW menggiatkan kempen produk baru serta penjenamaan produk luar bandar. Kempen pemasaran yang berterusan akan diadakan sepanjang KUD 2015 dengan adanya aktiviti seperti ‘street marketing’ yang lebih praktikal untuk usahawan luar bandar.   

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:01 AM