Ahmad Jazlan (tengah) ketika melawat pameran usahawan dan pelajar GiatMara. FOTO Nor Amalina Alias
Ahmad Jazlan (tengah) ketika melawat pameran usahawan dan pelajar GiatMara. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


USAHAWAN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di luar bandar perlu memahirkan diri dengan teknik pemasaran dalam talian untuk pasaran produk yang lebih meluas.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia juga bagi mengelak usahawan lain yang lebih berjaya mengambil kesempatan atas perniagaan yang sudah diasaskan.

Katanya, produk tempatan mempunyai potensi tinggi untuk dipasarkan di luar negara seperti China namun tidak dimanfaatkan usahawan PKS luar bandar.

Katanya, mereka juga perlu rajin mengikuti kursus kemahiran dan keusahawanan yang dianjurkan kementerian berkaitan seperti KKLW, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mendekati pasaran pasar raya besar atau pasar raya kecil.

"Sebagai contoh, usahawan PKS boleh hasilkan madu kelulut sendiri tapi pasaran dimonopoli ahli perniagaan yang sudah berjaya yang sekali gus mengaut keuntungan tinggi.

"Usahawan PKS hanya menjadi pengeluar kepada usahawan besar sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Kelantan@Ketereh 2017 di Dataran Melor, Kota Bharu, hari ini.

Seramai 100 usahawan menyertai karnival itu yang turut dihadiri, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat Kelantan (MARA) Negeri Kelantan, Ismail Abdullah.

Ahmad Jazlan berkata, sehingga kini, 900,000 usahawan PKS termasuk mikro bernaung di bawah KKLW di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, 5.1 peratus adalah usahawan PKS dari Kelantan.

"Kita sudah peruntukkan RM33 juta pinjaman buat usahawan PKS tahun ini untuk memahirkan mereka dengan pemasaran dan melahirkan produk baru yang memenuhi permintaan pasaran.

"Ada juga yang menjual menerusi Karnival Usahawan Desa (KUD) anjuran KKLW dan kursus kemahiran lain," katanya yang berharap bantuan kerajaan negeri untuk sama-sama membantu peniaga PKS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 11:23 PM