AHMAD Afnan Irfan (dua kanan) dan Nurul Hasanah bersama-sama mendaftar sebagai mahasiswa dan mahasiswi. FOTO Bernama
AHMAD Afnan Irfan (dua kanan) dan Nurul Hasanah bersama-sama mendaftar sebagai mahasiswa dan mahasiswi. FOTO Bernama

SINTOK: Sepasang suami isteri tidak menyangka mereka sama-sama diterima masuk untuk belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Nurul Hasanah Salim dan Ahmad Irfan Ahmad Zukri, kedua-duanya berumur 21 tahun dan berasal dari Marang, Terengganu adalah antara ratusan penuntut yang mendaftar masuk ke UUM, hari ini.

Mereka juga bersyukur kerana ditempatkan di fakulti yang sama iaitu Kewangan Islam.

Nurul Hasanah adalah penuntut lulusan Diploma Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Baharu, Selangor akan mengikuti bidang Kewangan dan Perbankan Islam sementara Ahmad Irfan yang juga berkelulusan diploma yang sama akan mengikuti pengajian Pentadbiran Muamalat.

Lebih mengujakan apabila Nurul Hasanah sedang mengandung anak pertama sembilan bulan.

"Memang secara kebetulan. Kami tidak menyangka akan dapat masuk UUM bersama," katanya.

Mengenai keadaan dirinya yang dijangka melahirkan anak pada Oktober ini, beliau berkata beliau akan menangguhkan pengajiannya selepas bersalin kelak.

Bagi Ahmad Irfan, beliau berkata selain menumpukan kepada pelajaran, mereka akan turut menumpukan perhatian kepada anak mereka yang bakal dilahirkan.

Mereka turut merasa lega kerana terdapat Taska di UUM yang mereka boleh tempatkan anak mereka.

"Kami sudah merancang dengan rapi. Cuma cabarannya agak lain bila kami sudah ada anak ketika melanjutkan pelajaran," katanya.

Beliau juga sedang berusaha untuk mendapatkan kediaman bersama dengan isterinya.

Ketika ini Ahmad Irfan ditempatkan di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Bank Rakyat manakala isterinya di DPP Muamalat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 10:06 PM