AFP

Johannesburg: Lapan bekas polis Afrika Selatan semalam didapati bersalah membunuh seorang lelaki warga Mozambique selepas mengheret mangsa di belakang van polis mereka, dua tahun lalu.

Mangsa, Mido Macia, 27, yang juga pemandu teksi maut ketika dalam tahanan polis pada Februari 2013 selepas ditahan kerana meletakkan kenderaan pada arah bertentangan.

Saksi merakamkan Macia dipukul sebelum tangannya digari pada bahagian belakang van polis dan diseret ratusan meter di Daveyton, timur Johannesburg.

Dia ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dalam lokap tempat dia ditahan tidak lama selepas itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Pretoria Bert Bam semalam menolak dakwaan tertuduh bahawa Macia melawan ketika ditahan dan memukul seorang daripada mereka.

Pemandu van mendakwa memecut dari situ untuk melarikan diri daripada orang ramai tanpa mengetahui Macia diheret di belakang kenderaan.

Bagaimanapun, Bam berkata, dia menerima hujah pendakwa bahawa anggota terbabit mahu ‘mengajar’ Macia kerana memaki mereka ketika ditahan.

“Penahanan Macia atas kesalahan lalu lintas yang kecil tidak sah, bererti dia berhak melawan tindakan itu,” katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat jelas menunjukkan mangsa cedera di kepala selain luka dan lebam pada badannya yang menyokong dakwaan dia dipukul lagi di dalam lokap.

“Kecederaan dialaminya teruk termasuk akibat pukulan dengan objek tumpul.

“Dengan mempertimbangkan semua ini, jelas mangsa dipukul dalam lokap,” katanya.

Dia menetapkan 22 September depan untuk hukuman.

Semua tertuduh - yang dipecat bersama ketua balai tidak lama selepas kejadian - berdepan hukuman minimum penjara 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 7:38 AM