KUALA LUMPUR 15 MAC 2019. Bicara kes pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, 38, yang menampar polis dan orang awam di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 15 MAC 2019. Bicara kes pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, 38, yang menampar polis dan orang awam di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. NSTP/EMAIL
Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari cedera di bahagian dahi ketika ditahan reman di dalam lokap Balai Polis Damansara, dua hari selepas ditahan polis kerana berkelakuan agresif, termasuk menampar anggota polis trafik dan orang awam, tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Faizal Abdullah, 33, pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor , hari ini, di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

“Pada 13 Januari 2018, saya dimaklumkan oleh pengawal lokap yang tertuduh cedera di dahi akibat menghentak kepalanya sendiri di kepala paip.

“Justeru, saya mengarahkan anggota polis bertugas membawa Farid ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 6 pagi, 13 Januari untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dalam pemeriksaan balas dilakukan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil.

Beliau berkata, bagaimanapun, Farid tidak menerima sebarang jahitan akibat daripada kecederaan itu.

MEGAT SYAZLEE : Setuju tak keadaan Farid separa sedar atau tak ketika kejadian itu berlaku?

MOHD FAIZAL : Tidak setuju.

MEGAT SYAZLEE : Kamu ada tanya kepada tentang kecederaan itu?

MOHD FAIZAL :Ya.

MEGAT SYAZLEE : Dia kata apa?

MOHD FAIZAL : Farid kata dia agresif sebab itu hentak kepala di kepala paip.

MEGAT SYAZLEE : Ada jahitan tak?

MOHD FAIZAL : Tidak.

Menurutnya, pelakon itu juga berada dalam keadaan agresif kerana cuba memanjat sel dan terjerit-jerit di dalam lokap.

“Selain itu, pengawal lokap juga meminta Farid Kamil untuk tindak bertindak sedemikian kerana mengganggu orang lain di dalam lokap,” katanya.

Difahamkan, pelakon utama Lagenda Budak Setan itu diasingkan lokap ketika direman disebabkan kelakuannya yang agresif dengan memanjat besi lokap, membuat bising serta mengacau tahanan lain ketika reman.

Terdahulu, Megat Syazlee mencadangkan kepada Mohd Faizal terdapat percanggahan antara dua laporan polis yang menyatakan kronologi insiden kedua-dua mangsa, iaitu Konstabel Mohamad Nizam Jamaludin, 25, dan Ashraf Ahmad, 36, yang dicederakan oleh Farid Kamil.

Peguam itu seterusnya bertanya jika Mohd Faizal ada membuat semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Balai Polis Trafik Kota Damansara, beliau menjawab ‘tidak,kerana tiada CCTV di balai.’

Ketika mencadangkan mengenai siasatan kes yang dilakukan Mohd Faizal hanyalah berdasarkan dua laporan polis yang bercanggah, beliau tidak bersetuju.

Saksi sama itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Megat Syazlee keadaan diri Farid Kamil ketika kejadian itu seperti tidak sedar atau tidak waras.

MEGAT SYAZLEE : Setuju tak keadaan Farid separa sedar atau tak ketika kejadian itu berlaku?

MOHD FAIZAL : Tidak setuju.

MEGAT SYAZLEE : Kamu ada menghantar tertuduh (Farid) pergi membuat ujian air kencing?

MOHD FAIZAL :Ya.

MEGAT SYAZLEE : Dan kamu menghantar Farid membuat ujian air kencing itu kerana dia di bawah pengaruh dadah ?

MOHD FAIZAL : Ya, saya setuju

Pada 16 Januari 2018, Farid, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari tahun lalu.

Perbicaraan bersambung 23 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 6:42 PM