Keadaan tiga kereta yang rosak selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kelibang-Padang Matsirat, Langkawi, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Keadaan tiga kereta yang rosak selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kelibang-Padang Matsirat, Langkawi, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Dua beradik cedera di kepala selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah lori di Jalan Kelibang-Padang Matsirat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mereka yang juga penumpang salah sebuah kereta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Langkawi (HL).

Ketua Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori tiga tan yang datang dari arah Kuah ke Padang Matsirat hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah kereta.

"Akibat rempuhan itu, kereta terbabit hilang kawalan sebelum melanggar pula kereta di hadapannya diikuti dua lagi kereta mengalami kemalangan sama.

"Dalam kemalangan itu, dua penumpang kereta cedera di kepala, manakala pemandu lima kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 10:09 PM