Hamzah Osman


Langkawi: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut manakala ibunya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) di Jalan Kenyum, Mukim Ulu Melaka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.50 pagi itu, Muhammad Uzair Jauhar Abd Shahadad yang cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Langkawi (HL).

Ibunya, Salihah Sulaiman, 30, dari Kampung Lubuk Setol di sini, yang memandu kereta itu, cedera di kaki kanan namun dilaporkan stabil.

Pemandu kereta peronda polis, Sarjan Nazri Zainal Abidin, 54, cedera di dada manakala rakannya di kerusi penumpang, Koperal Azimi Md Isa, 50, hanya cedera ringan.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, kereta Proton Wira dipandu Salihah dalam perjalanan dari Ulu Melaka ke Padang Matsirat.

 "Tiba di tempat kejadian kereta Proton Wira dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta peronda polis.

“Bayi terbabit cedera parah di kepala manakala wanita yang memandu kereta berkenaan patah kaki kanan dan mereka di hantar ke HL," katanya.

Bagaimanapun Mahadhir berkata, pada 3.10 petang, pihaknya dimaklumkan bayi terbabit meninggal dunia ketika dirawat di HL.

“€œKes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 6:20 PM