FOTO Hamzah Osman
FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


GURU agama yang dalam perjalanan mengajar maut apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan motosikal lain di Jalan Kuah-Padang Matsirat, Langkawi.

Ismail Ab Rahman, 64, dari Kampung Bakau Kelibang, Langkawi meninggal dunia di tempat kejadian, pada kira-kira 7 malam semalam.

Anak sulungnya, Mohd Shukri, 40, berkata selain menjadi guru agama, ayahnya juga pengusaha Maahad Tahfiz Al Yamani dan mengajar ilmu agama di masjid sekitar Langkawi.

“Arwah ayah dikatakan ketika itu dalam perjalanan mengajar agama di Masjid Al-Tasnim, Kampung Bayas, kira-kira 11 kilometer dari rumah di Kampung Bakau Kelibang.

“Saya dapat berita sedih kejadian menimpa ayah, pada 7.30 malam. Adik menghubungi saya. Saya kemudian terus ke tempat kejadian," katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Langkawi (HL).

Menurutnya, arwah ada menyuarakan rasa tidak sedap hati kepada ibunya, Azah Ali, 53, ketika hendak keluar rumah beberapa minit sebelum kejadian.

“Ibu ada melarang arwah ayah supaya tidak ke masjid selepas arwah ayah ada mengadu dia tak sedap hati dan berdebar-debar beberapa minit sebelum keluar rumah untuk bermotosikal ke masjid.

“Tapi, arwah ayah tetap hendak ke Kampung Bayas juga kerana mahu memberi penjelasan lanjut kepada beberapa isu yang dibangkitkan oleh kariah yang mengikuti kuliah agamanya, minggu lalu," katanya.

Mohd Shukri berkata, jenazah ayahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Nur Al-Hidayah Kampung Kelibang.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi Asisten Superintendan Ahmad Shukri Ramli, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dengan motosikal lain.

“Kedua-dua motosikal itu dalam perjalanan dari Kuah ke Padang Matsirat.

“Berikutan itu, lelaki yang juga guru agama meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang sebuah lagi motosikal iaitu remaja 17 tahun luka di tangan dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 10:04 AM