TAMPIL bergaya dan menawan.
TAMPIL bergaya dan menawan.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Melihat dari hiasan luaran, pasti ramai menganggap jentera pilihan Modifikasi minggu ini berperwatakan jahat atau antagonis.

Gambar dadu, duit, sehinggalah imej seorang memegang set daun terup sudah pasti menimbulkan persepsi negatif dengan mengaitkan aktiviti perjudian.

Namun, itu hanyalah seni kreativiti anak muda yang menghias kereta Produa Myvi keluaran 2011 dengan perwatakan sedemikian bagi mencuri tumpuan, selain menerapkan konsep pada ruang dalamannya.

Pemiliknya dari Klang, Selangor, Y Lalitth, 23, mula mengubah suai jenteranya dua tahun lalu di mana keseluruhan rua­ngan dalamannya diubah kepada konsep VIP.

Untuk menceriakan lagi suasana dalaman, tempat duduk hadapan dan belakang digantikan de­ngan material separuh kulit warna ungu dan putih yang cukup menawan.

Bagi ruangan luaran pula, gambar daun terup dan dadu ternyata memberi imej ‘jahat’, namun itu hanyalah tema yang menjadi pilihan pemiliknya dan bukan menggambarkan kehidupan sebenar.

Sudut luaran itu masih mengekalkan kit badan asal, namun menerima sedikit pengubahsuaian binaan khas yang dilakukan pada dapra untuk menggunakan pintu gunting.

Selain itu, rim krom berjenama Spider bersaiz 17 inci dengan padanan tayar Duro 195/45 R15 bagi menaikkan imej VVIP.

Jentera yang digelar pemilik­nya sebagai ‘Ace Purple VIP’ semakin unik apabila dipasang suspensi angin boleh laras dengan kawalan bagi menentukan tahap ketinggian kenderaan itu.

Ruangan enjin, pemilik masih mengekalkan enjin asal bersesaran 1,500 cc, tetapi dikemaskan dengan tema gambar duit dolar yang dilakukan oleh ABI Hydrograpic dan Chrome, di Shah Alam, Selangor.

Melengkapkan konsep VIP, sistem audio asal ditukar kepada yang berkualiti tinggi serta turut diceriakan dengan lampu LED pelbagai warna.

Pemiliknya menaruh kepercayaan kepada pemain cakera Pioneer yang kemudiannya dihubungkan kepada dua buah monoblok Mohawk Silver MS sebelum disalurkan kepada dua woofer bersaiz 12 inci Mohawk berkekuatan masing-masing 1,000 bagi memberikan bunyi audio padat.

Amplifier empat hala jenama sama berkuasa 2,000 watt Mohawk disalurkan kepada dua sub woofer serta dua pembesar suara mid pada bahagian dalaman jentera.

Bagi tampil berbeza, televisyen Sony LCD bersaiz 19 inci pada bahagian but disokong sembilan LCD 4.3 inci yang diletak di bahagian kabin.

Biarpun sudah berhabis RM40,000 untuk menghias jentera itu, pemiliknya berpuas hati apabila jenteranya kini dikenali di seluruh Malaysia selepas kerap memenangi pertandingan autoshow.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:00 AM