Agensi

Munich: Sesi latihan pertama bermula dengan senaman di bahagian perut, kaki, belakang dan semua pemain dilihat meregangkan otot masing-masing di atas pelapik getah berwarna biru selama 15 minit sebelum memasuki bilik persalinan bersama jurulatih Pep Guardiola.

Pemain Bayern sedar bahawa latihan serta tahap kecergasan masing-masing perlu ditingkatkan menjelang pertemuan pembuka tirai Bundesliga 2015/16 menentang Hamburger SV hujung minggu ini.

“Kami semua sudah bersedia. Saya memulakan musim ini dengan penuh yakin,” kata Philipp Lahm kepada media selepas latihan. “Jika kami bermain dengan sepenuh kudrat serta apa yang kami ada, sudah tentu kami akan melangkah meninggalkan padang selaku pemenang.”

Jérôme Boateng juga melahirkan rasa gembiranya apabila musim yang dinanti-nantikan itu semakin tiba. Pertahanan Bayern itu percaya pertembungan menentang bekas kelabnya itu tidak akan berlangsung mudah.

“Kami tidak akan sesekali memandang rendah lawan kami kerana apa yang penting ialah keluar sebagai pemenang.”

Boateng berkata, Hamburger SV adalah sebuah pasukan yang berbahaya terutama selepas mereka tewas di tangan Carl-Zeiss Jena baru-baru ini.

“Ramai beranggapan perlawanan itu mudah buat kami tetapi kami perlu sedar Hamburger SV tidak mempunyai apa-apa untuk dibimbangkan. Mereka akan bermain dengan tenang. Kami tidak akan sesekali memandang rendah lawan kami.”

Pemain antarabangsa Jerman itu menambah, hanya usaha berterusan serta tidak mengenal penat yang boleh menjamin kemenangan pertama yang dicari Bayern.

Tiga mata untuk perlawanan pertama adalah keputusan yang sangat dinanti-nantikan sebelum Bayern mengimpikan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Di dalam fikiran mereka ialah, takhta Bundesliga 2015/16 perlu dimenangi kerana ia akan menjadi gelaran keempat berturut-turut.

“Belum pernah ada pasukan yang melakukannya termasuk Bayern yang terkenal dengan kehebatannya pada era 70-an,” kata Lahm. “Ia satu pencapaian yang sangat hebat dan kami semua memikirkannya. Kami mahu mencapainya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:19 AM