KETUA jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann mengangkat tiang gol pada hari pertamanya bersama kelab gergasi Jerman itu, hari ini. FOTO EPA
KETUA jurulatih Bayern Munich, Julian Nagelsmann mengangkat tiang gol pada hari pertamanya bersama kelab gergasi Jerman itu, hari ini. FOTO EPA
AFP

Berlin: Ketua jurulatih baharu Bayern Munich, Julian Nagelsmann mengesahkan Manuel Neuer kekal sebagai kapten pada musim depan dan memberi jaminan pemain sayap, Leroy Sane akan membalas kritikan terhadap prestasinya.

Selepas dua musim cemerlang bersama RB Leipzig, Nagelsmann, yang akan berusia 34 tahun bulan ini, dilantik mengemudi Bayern menggantikan Hansi Flick, yang kini ketua jurulatih skuad Jerman.

Nagelsmann mengesahkan penjaga gol Jerman, Neuer, yang setahun lebih tua daripadanya, akan kekal sebagai kapten apabila cemerlang selepas Philipp Lahm bersara pada 2017.

Pada sidang media pertamanya sebagai jurulatih Bayern, hari ini, Nagelsmann memberi jaminan Sane akan bangkit daripada kritikan selepas aksi hambar bersama Jerman di Euro 2020.

"Sudah tentu kami berbincang. Kami tidak mahu mengganggu dan membawanya ke sidang media ini," kata Nagelsmann.

Sane, 25, masih belum menyerlah di Bayern selepas setahun perpindahan berprofil tingginya dari Manchester City.

Bagaimanapun, Nagelsmann berkata: "Sudah pasti kami akan melihat Leroy Sane yang lebih gagah dan memikul peranan besar dalam kejayaan FC Bayern."

"Bayern adalah kelab terbesar di Jerman. Memang menjadi impian saya untuk menjadi jurulatih di sini," katanya yang berasal dari Landsberg am Lech dekat Munich dan tidur berselimut tertera logo FC Bayern ketika kanak-kanak.

Dia sedar perlu mengekalkan prestasi hebat kelab itu dan membawa gelaran Bundesliga ke-10 berturut-turut di Munich pada musim pertamanya.

Nagelsmann perlu menyusun semula benteng dengan kehadiran bek tengah Perancis, Dayot Upamecano dari Leipzig manakala pemain pertahanan, David Alaba dan Jerome Boateng meninggalkan Bayern selepas kontrak mereka berakhir.

"Memang normal apabila pemain datang dan pergi meninggalkan kelab," kata Nagelsmann.

"Saya mengenali 'Upa' sudah lama, saya tahu kekuatannya dan apa yang ada dalam dirinya.

"Kami turun memiliki pemain bagus seperti (Benjamin) Pavard, (Lucas) Hernandez dan Niklas) Suele."

Selepas aksi persahabatan dengan Cologne, Ajax, Moenchengladbach dan Napoli pada hujung bulan ini, perlawanan kompetitif pertama Nagelsmann adalah Liga Jerman menentang Bremer SV pada 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:37 PM