Lewandowski (kanan) jaring gol kedua Bayern ketika menentang Hamburg. -Foto EPA
Lewandowski (kanan) jaring gol kedua Bayern ketika menentang Hamburg. -Foto EPA
AFP

BERLIN: Robert Lewandowski mencipta hatrik ketika Bayern Munich membaham Hamburg 6-0 dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.

Kemenangan itu memastikan Bayern semakin menghampiri kejuaraan keenam berturut-turut dan menambahkan lagi kesengsaraan Hamburg yang kini belum menang dalam 13 perlawanan.

“Kami beraksi sangat baik hari ini. Prestasi dan keputusan perlawanan sangat penting kepada kami,” kata pengurus Bayern, Jupp Heynckes yang akan membawa kelabnya ke Besiktas untuk aksi peringkat kedua 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara pertengahan minggu depan.

Dengan tinggal lapan perlawanan lagi, Bayern sukar dicabar di puncak dengan 20 mata mengatasi pesaing terdekat, Schalke yang menang 1-0 mengatasi Mainz, kelmarin.

“Tak kisah sama ada 10, 15 atau 20 mata. Yang penting kami perlu terus kekalkan momentum dalam Bundesliga, ” kata Arjen Robben. “Kami tak boleh hanya fokus Liga Juara-Juara.”

Bayern kerap menang besar ke atas Hamburg di Allianz Arena sejak beberapa tahun lalu dan hanya memerlukan kurang lapan minit untuk menggegar kubu lawan.

Franck Ribery bijak memperdayakan penjaga gol pelawat, Christian Mathenia untuk gol pertama tuan rumah.

LEWANDOWSKI melengkapkan hatriknya dengan jaringan penalti. -Foto Reuters
LEWANDOWSKI melengkapkan hatriknya dengan jaringan penalti. -Foto Reuters

Empat minit kemudian, Lewandowski menanduk masuk hantaran Joshua Kimmich untuk jaringan kedua Bayern. Penyerang Poland itu sekali lagi menembusi gawang lawan pada minit ke-19 hasil rembatan jarak dekat selepas mendapat bola hantaran Jerome Boateng.

Robben menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-55 dan Ribery menjaringkan gol kelima Bayern hasil gerakan solo pada minit ke-80.

Lewandowski terlepas peluang menjaringkan penalti pada minit ke-85 selepas bola rembatannya melepasi palang gol tetapi menebus kesilapannya pada di minit akhir perlawanan juga hasil sepakan penalti sekali gus melengkapkan hatrik buat dirinya.

Lewandowski kini sudah menjaringkan 100 gol buat Bayern dalam aksi Bundesliga sekali gus muncul penjaring terbanyak dengan 142 gol dari 182 perlawanan dalam semua kejohanan. Dia merampas status itu dari pemain Brazil, Giovane Elber yang beraksi di antara 1997 - 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:03 AM