London: Stoke City mengikat bekas pemain sayap Barcelona, Ibrahim Afellay secara perpindahan percuma, umum kelab Liga Perdana itu kelmarin.

Afellay bersetuju dengan kontrak dua tahun bersama City dan akan bersama bos barunya Mark Hughes dan rakan sepasukan bagi jelajah pramusim ke Perancis.

Pemain kebangsaan Belanda berusia 29 tahun itu, yang memiliki 50 caps, boleh didapati selepas kontraknya bersama Barcelona tamat baru-baru ini.

Bekas bintang PSV Eindhoven itu menyertai rakan senegara Erik Peters dan Marco van Ginkel dalam skuad Stoke, di samping bekas rakan sepasukan Barcelona, Bojan Krkic, Marc Muniesa dan Moha El Ouriachi.

Penampilan Afellay di Barcelona terjejas kerana masalah kecederaan dan dia hanya melakukan 21 penampilan liga bersama kelab Sepanyol itu, selain turut beraksi secara pinjaman di Schalke dan Olympiakos.

Dia menjadi pembelian kelapan Stoke pada musim panas ini berikutan kehadiran Philipp Wollscheid, Jakob Haugaard, Joselu, Van Ginkel, Glen Johnson, Shay Given dan Moha. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 7:57 AM