DEFOE (kanan) jaring hatrik bantu Sunderland benam Exeter.
DEFOE (kanan) jaring hatrik bantu Sunderland benam Exeter.
AFP

London: Watford menjadi mangsa kejutan awal Piala Liga Inggeris apabila kelab Liga Perdana itu tewas 0-1 kepada kelab Liga Kejuaraan, Preston pada pusingan kedua, awal pagi semalam.

Pengurus Hornets, Quique Flores melakukan 11 pertukaran kepada pasukan yang seri tanpa jaringan dengan Southampton, Ahad lalu menyebabkan mereka seri kali ketiga berturut-turut sejak kembali ke Liga Perdana.

Perjudian Flores memakan diri apabila Watford muncul pasukan tunggal dari Liga Perdana yang beraksi awal pagi semalam gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga.

Pertahanan pinjaman dari Sheffield Wednesday, Marnick Vermijl menyumbat masuk gol kemenangan dari jarak dekat pada minit kelapan dan nasib Watford lebih buruk apabila pertahanan baru dari Uruguay, Miguel Britos dibuang padang pada minit ke-75 kerana menyiku lawan.

Stoke dipaksa bekerja keras dan berada di ambang penyingkiran sebelum menumpaskan kelab divisyen empat Luton Town 8-7 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 di Kenilworth Road.

Pasukan kendalian Mark Hughes itu, yang dapat menurunkan bekas penyerang Barcelona, Bojan Krkic kali pertama sejak Januari lalu selepas kecederaan lutut, mendahului menerusi Jon Walters pada minit ke-67 namun Cameron McGeehan memaksa masa tambahan dengan gol penyamaan pada minit ke-90.

Pada penentuan penalti, percubaan pemain Luton, Scott Griffiths terkena palang ketika kedudukan 7-7 dan pemain Stoke, Geoff Cameron menyempurnakan penalti kemenangan.

West Brom turut memerlukan penalti sebelum mengatasi kelab divisyen tiga, Port Vale di The Hawthorns.

Albion turun tanpa pemain sasaran Tottenham, Saido Berahino, penyerang B-21 England yang memohon berpindah kelab dan mereka gagal merobek benteng Vale ketika seri 0-0 selepas masa tambahan sebelum menang penalti 5-3.

Hatrik Jermain Defoe memulihkan maruah Sunderland apabila kelab bergelut Liga Perdana itu mengalahkan kelab divisyen empat, Exeter 6-3 di Stadium of Light.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 8:57 AM