London: Pemain termahal West Brom, Salomon Rondon (gambar) bangga menjaringkan gol sulungnya buat Baggies ketika menang 1-0 ke atas Stoke City Sabtu lalu, sekali gus memberikan kelab Liga Perdana itu kemenangan pertama mereka musim ini.

Rondon menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan babak pertama di Stadium Britannia, menanduk masuk hantaran lintang Rickie Lambert melepasi penjaga gol Jack Butland selepas Stoke beraksi dengan sembilan pemain pada minit ke-31 apabila Ibrahim Afellay dan Charlie Adam dibuang padang.

“Saya gembira menjaringkan gol pertama buat Albion,” kata Rondon, 25.

“Ia gol penting kerana ia memberikan kami kemenangan sulung dan tiga mata pertama musim ini. Stoke pasukan liat jadi mengalahkan mereka amat melegakan.”

Rondon, yang berpindah dari Zenit St Petersburg, berharap dapat menyumbat gol lebih kerap selepas ini.

“Saya gembira menjaringkan gol pertama dan harapnya boleh meledak lebih banyak gol lagi.

“Saya berjaya menyesuaikan diri dengan baik, England amat bagus. Liga Perdana amat sukar jadi saya sedar perlu bekerja lebih keras,” kata pemain kebangsaan Venezuela itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:41 AM