MIGNOLET mahu Liverpool teruskan rentak cemerlang menentang Arsenal. -Foto EPA
MIGNOLET mahu Liverpool teruskan rentak cemerlang menentang Arsenal. -Foto EPA
AFP

LONDON: Bersemangat selepas kemaraan di Eropah, Simon Mignolet mencabar Reds membuktikan kebangkitan mereka dengan kemenangan menentang pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Arsenal hujung minggu ini.

Anak buah Juergen Klopp layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun dengan kemenangan 4-2 ke atas Hoffenheim, awal pagi kelmarin.

Suasana bingit di Anfield menjana persembahan bertenaga Liverpool pada pertengahan minggu dan penjaga gol Belgium, Mignolet menjangkakan Arsenal akan menerima sambutan sama daripada Kop, Ahad ini.

Selepas seri pada minggu pembukaan dengan Watford, Liverpool mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan untuk membuktikan mereka mampu menyerlah tanpa pemain sasaran Barcelona, Philippe Coutinho.

Kini Mignolet mahu Liverpool meneruskan rentak mereka dengan kemenangan bergaya ke atas Gunners.

“Di Anfield ia sering kali malam yang istimewa dan saya fikir kami membuktikan apa yang boleh dilakukan di sana. Suasananya bingit, itulah mengenai Anfield dan inilah tempat kami,” katanya.

“Setiap orang akan teruja untuk bermain di peringkat ini, yang mana semua sejarah dilakar di kelab bola sepak ini.”

Berbanding kebangkitan Liverpool, Arsenal sudah berdepan krisis keyakinan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menang tipis ke atas Leicester dan kemudian tewas 0-1 kepada Stoke hujung minggu lalu.

Tewas kepada Stoke mendedahkan kelemahan benteng pertahanan Arsenal, ketika anak buah Arsene Wenger sekali lagi gagal mengubah pegangan bola kepada gol dengan bintang serangan Alexis Sanchez tidak beraksi.

Sanchez terlepas permulaan musim kerana kecederaan dan tidak sihat namun pemain kebangsaan Chile itu dijangka melakukan penampilan pertamanya musim ini, Ahad ini.

Berikutan spekulasi berpanjangan Sanchez mahu meninggalkan Arsenal sebelum kontraknya tamat hujung musim ini, Wenger menegaskan beliau gembira menerima kepulangan semula pemain yang dikehendaki Manchester City dan Chelsea.

“Dia sering fokus terhadap tugasnya, dia suka bermain bola sepak dan saya tidak fikir dia terganggu dengan semua yang berlaku,” ujar Wenger.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 12:35 PM