Barcelona: David Moyes memberitahu Steven Gerrard, dia dialu-alukan untuk menyertai Real Sociedad jika mahu menamatkan kariernya di La Liga.

Bekas pengurus Everton itu meluahkan penghargaannya kepada legenda Liverpool itu dan berkata: “Dia melalui karier yang hebat untuk kelabnya dan juga England dan pastinya sukar diganti.

“Jika dia mahu bermain di Sepanyol, dia boleh menghubungi saya.”

Gerrard hampir menyertai Real Madrid pada 2005 dan Real Sociedad, kelab pertama untuk bekas rakan sepasukan di Liverpool, Xabi Alonso pastinya mengalu-alukan ketibaan bekas kapten England itu yang dikatakan bakal menyertai LA Galaxy sebaik musim ini berakhir.

Moyes berkata demikan menjelang pertemuan dengan Barcelona, hari ini sebaik aksi La Liga disambung kembali selepas cuti musim sejuk.

Beliau mengakui menikmati percutiannya buat pertama kali dalam tempoh suku abad tetapi menghabiskan masanya untuk ke England untuk mencari pemain pinjaman.

“Seronok dapat makan malam Krismas bersama keluarga. Ia pastinya mustahil jika saya masih menjadi pengurus Liga Perdana Inggeris.

“Sudah 25 tahun saya tidak meraikan Krismas tetapi saya juga menonton perlawanan dan banyak bercakap dengan penggiat bola sepak di sana dan bertanyakan mengenai pemain dan sama ada mereka boleh diperolehi.

Bekas pengurus Manchester United itu turut dikaitkan dengan pemain sayap United, Adnan Januzaj, pemain tengah Liverpool Emre Can dan pemain Stoke City Charlie Adam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:03 AM