VAN Ginkel masuk sebagai pemain gantian ketika menentang AZ Alkmaar. FOTO Agensi
VAN Ginkel masuk sebagai pemain gantian ketika menentang AZ Alkmaar. FOTO Agensi
Agensi

London: Pemain Chelsea yang dilupakan, Marco van Ginkel akhirnya kembali beraksi selepas berehat 983 hari susulan mengalami kecederaan serius.

Pemain tengah Blues berusia 28 tahun itu yang beraksi secara pinjaman bersama PSV Eindhoven masuk daripada bangku simpanan pada minit ke-86 ketika menentang AZ Alkmaar semalam sekaligus menamatkan penantian dua setengah tahun akibat kecederaan lutut yang serius.

Kali terakhir kelibat pemain antarabangsa Belanda itu di atas padang pada Mei 2018.

Van Ginkel salah seorang pemain muda berbakat di Eropah ketika Chelsea membelinya daripada Vitesse lapan tahun lalu dengan harga £8 juta (RM44 juta).

Malangnya, dia hanya tampil empat kali bersama skuad senior dengan kali terakhir pada 2014 ketika Jose Mourinho masih menjadi pengendali di Stamford Bridge.

Van Ginkel dibelenggu beberapa kecederaan serius di Chelsea yang kemudiannya dipinjamkan ke AC Milan, Stoke City dan PSV dengan harapan perubahan persekitaran dapat membantu mempercepatkan pemulihannya.

Dia yang kontraknya bersama Blues tamat penghujung musim ini akhirnya menamatkan penantian sekian lama dengan tampil sebagai pemain gantian ketika PSV tewas 1-3 kepada AZ di tempat sendiri.

Van Ginkel menzahirkan kegembiraan selepas tamat perlawanan kepada NOS: "Ia tempoh sangat panjang, jadi saya bangga sejak minit pertama lagi saya masuk ke padang. Saya tidak jejak ke padang sekian lama, berdepan banyak pembedahan. Jadi saya sangat gembira akhirnya dapat kembali.''

Dia mungkin diturunkan sekali lagi apabila PSV berkunjung ke Sparta Rotterdam pada Sabtu ini. Skuad Roger Schmidt kini menduduki tangga keempat Eredivisie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 10:44 PM