Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Badi kekalahan kepada wakil Indonesia, Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi gagal ditamatkan beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila tewas kali ketiga berturut-turut pada suku akhir Siri Super Terbuka Jepun semalam.

Beregu utama negara itu tewas 16-21, 13-21 sekali gus menyaksikan berakhirnya perjuangan pemain Malaysia pada kejohanan itu selepas jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei tewas kepada pemain sensasi China, Lin Dan, kelmarin.

V Shem-Wee Kiong tewas kepada beregu sama pada temasya Sukan SEA Singapura, Jun lalu serta Terbuka Taiwan sebulan kemudian.

“Kami gagal beraksi dengan baik hari ini (semalam), sebaliknya lawan mempamer aksi lebih cemerlang.

“Kami perlu segera melupakan kekalahan ini dan terus cuba memberikan yang terbaik selepas ini,” kata V Shem.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen tetap bersikap positif meskipun semua wakil negara terkandas pada kejohanan itu.

“V Shem-Wee Kiong mempamer aksi yang baik apabila mampu melangkah hingga ke suku akhir.

“Bagaimanapun, kami perlu mengakui lawan mereka dari Indonesia ternyata lebih baik. Angga terutamanya cukup meyakinkan,” katanya.

Selain V Shem-Wee Kiong serta Chong Wei, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Tan Aik Quan-Lai Pei Jing turut beraksi di Terbuka Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:04 AM