V Shem (kiri) bersama Wee Kiong.
V Shem (kiri) bersama Wee Kiong.
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit mengakui anak buahnya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berdepan laluan berliku apabila beraksi pada saingan Seluruh England di Birmingham yang bermula esok.

V Shem-Wee Kiong yang terkandas di separuh akhir Terbuka Jerman di Mulheim, Sabtu lalu akan membuka tirai saingan menentang pilihan kelima dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda pada pusingan pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada pasangan Jepun itu yang melakar empat kemenangan daripada enam pertemuan ke atas V Shem-Wee Kiong.

Dua pertemuan terakhir kedua-dua pasangan itu menyaksikan Takeshi-Keigo mencatatkan kemenangan dua kali berturut-turut ke atas V Shem-Wee Kiong ketika saingan Piala Sudirman 2017 di Gold Coast, Australia.

“Ia agak mencabar buat V Shem-Wee Kiong kerana perlu berdepan pasangan Jepun itu di pusingan pertama lagi. Saya harap mereka tidak terlalu fikirkan mengenai rekod pertemuan.

“Sebaliknya, kekal fokus. Pencapaian mara sehingga separuh akhir Terbuka Jerman diharap mampu menjadi motivasi buat V Shem-Wee Kiong kerana secara keseluruhannya mereka bermain dengan baik sepanjang kejohanan berkenaan,” kata Soon Kit ketika dihubungi di Birmingham, hari ini.

Di Mulheim, V Shem-Wee Kiong terpaksa akur apabila tewas di tangan satu lagi pasangan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko 17-12, 21-18, 19-21.

“Walaupun tewas di separuh akhir tetapi saya tetap berpuas hati dengan prestasi mereka. Saya boleh nampak kesungguhan mereka untuk mencapai kembali prestasi terbaik.

“Masih ada Seluruh England untuk saya buat penilaian. Saya tidak mahu letak tekanan tetapi saya boleh katakan mereka di landasan tepat untuk kembali pada tahap terbaik mereka,” kata Soon Kit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:33 AM