V Shem (kiri) dan Wee Kiong sedia hadapi cabaran.
V Shem (kiri) dan Wee Kiong sedia hadapi cabaran.

GANDINGAN beregu lelaki negara yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kembali digandingkan bagi menghadapi kejohanan, awal tahun depan, umum Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

Selain pasangan utama negara yang sudah berpisah empat bulan lalu itu, gandingan beregu yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga digandingkan kembali.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai mengesahkan yang keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan peraturan kejohanan 2018 yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“V Shem-Wee Kiong dan Yew Sin-Ee Yi akan kembali digandingkan untuk beberapa kejohanan sebagai persiapan bagi Malaysia menghadapi kempen Piala Thomas tahun depan (di Bangkok).

“Disebabkan kedua-dua pasangan masih memiliki ranking yang tinggi, mereka boleh membantu Malaysia untuk mendapat kelayakan yang lebih tinggi selain untuk tujuan kedudukan pilihan.

“Bagi tempoh beberapa bulan selepas ini, gandingan baharu dan lama akan menyertai kejohanan yang berbeza. BWF sudah mengeluarkan peraturan kejohanan baharu bagi tahun 2018 di mana tiada pusingan kelayakan bagi kejohanan tahap dua dan tiga dan di kejohanan tahap empat dan lima, hanya ada 28 tempat dalam undian utama dan ditambah dengan pusingan kelayakan.

“Oleh itu, ada risiko bahawa pasangan baharu Wee Kiong-Yew Sin dan V Shem-Ee Yi mungkin tidak layak untuk bermain di kejohanan tahap dua dan tiga dan hampir kesemua kejohanan di tahap empat.

“Justeru, BAM bersama-sama dengan jurulatih dan pemain membuat keputusan untuk menyatukan semula gandingan V Shem-Wee Kiong dan Yew Sin-Ee Yi untuk beberapa kejohanan,” kata Chin Chai dalam kenyataan yang dikeluarkan badan induk berkenaan.

Ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit berkata: “Petunjuknya ketika ini adalah positif dengan pemain-pemain memahami perancangan kami bagi tahun depan terutama bagi kempen Piala Thomas.

“Mereka menerima keputusan itu dengan amat baik kerana mereka memahami perkara ini di mana negara adalah keutamaan dan mereka juga sedar dengan peraturan baharu BWF. Saya berharap mereka dapat mencapai keputusan sebaik mungkin.”

Setakat bulan lalu, gandingan Wee Kiong-Yew Sin dan V Shem-Ee Yi menghuni ranking ke-76 dan ke-92 dunia manakala gandingan V Shem-Wee Kiong dan Yew Sin-Ee Yi pula masing-masing berada di ranking ke-18 dan ke-24.

Empat bulan lalu V Shem-Wee Kiong yang menghuni kedudukan ranking tertinggi sebagai beregu nombor satu dunia pada penghujung 2016 dipisahkan selepas dikatakan tidak sependapat.

Selain melangkah ke final acara beregu lelaki di Rio, Brazil, antara kejayaan yang diraih oleh V Shem-Wee Kiong pada 2016 ialah memenangi Terbuka Denmark dan menjuarai gelaran Siri Super Final Dunia di Dubai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 12:06 AM