Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Dua kereta dikesan memiliki nombor pendaftaran sama dengan kereta lain disyaki klon dalam Ops Bersepadu di Jalan Dato Muda Linggi di sini, malam tadi.

Operasi dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar dimulakan jam 10 malam tadi.

Difahamkan, dua kereta masing-masing Mercedes Benz dan Honda Jazz itu disyaki klon hasil semakan lanjut JPJ terhadap nombor pendaftaran dan nombor casis selepas pihaknya mendapati nombor pendaftaran itu sama dengan kereta asal.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Nazli Md Taib berkata, pihaknya menyita kereta berkenaan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Menurutnya, dalam operasi disertai 103 pegawai dan anggota itu, sebanyak 303 notis dikeluarkan membabitkan 376 kesalahan.

"Antara kesalahan dikesan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans kenderaan, tiada lesen memandu, teknikal, dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Selain itu, seramai 11 individu berusia lingkungan 20-an ditahan oleh AADK kerana didapati positif dadah methamphetamine dan ganja, hasil ujian saringan air kencing," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Dalam operasi sama, JIM negeri berjaya menahan tujuh lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 20-an hingga 30-an membabitkan warga Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

Malah, JAS juga mengeluarkan kompaun terhadap lapan kenderaan yang mengeluarkan asap tebal hitam dan ekzos berbunyi bising.

Nazli berkata, pihaknya mengadakan Ops Hari Raya Aidilfitri 2015 (HRA) bermula 10 Julai hingga 25 Julai ini bertujuan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Menurutnya, JPJ menempatkan anggota di setiap 30 kilometer di jalan utama negeri dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) selain membuat pemeriksaan bas di depoh dan hentian bas serta melakukan penyamaran sebagai penumpang bas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 1:46 PM