ANTARA motosikal yang diperiksa dalam Ops Khas Motosikal. FOTO Nor Farhani Che Ad
ANTARA motosikal yang diperiksa dalam Ops Khas Motosikal. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah mengeluarkan 199 saman pelbagai kesalahan dalam tempoh sejam setengah dalam Operasi Khas Motosikal di Sungai Petani, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Jawatankuasa Industri Utama, Azman Nasrudin berkata, operasi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 8.30 malam itu, turut menyita sebuah kereta jenis Honda Insight yang disyaki kenderaan klon.

Katanya, sebanyak 895 kenderaan diperiksa dalam operasi yang turut membabitkan agensi penguatkuasaaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah tiada lesen, tiada cukai jalan dan insurans.

“Selain itu, AADK turut mengesan lima kes berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan penunggang motosikal berusia 17 hingga 30 tahun yang didapati positif syabu dan morfin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada operasi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019. Hadir sama, Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff.

Dalam pada itu, Azman berkata, Operasi HRA 2019 yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 29 Mei sehingga 13 Jun itu mensasarkan penurunan 20 peratus kematian akibat kemalangan di lebuh raya berbanding HRA 2018.

“Kita juga berusaha menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 10 peratus bagi kenderaan persendirian dan motosikal berbanding musim perayaan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, seramai 216 anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ negeri itu terbabit dalam operasi.

Katanya, antara pendekatan yang diambil termasuk memberi tumpuan kepada kenderaan pengangkutan barangan di lebuh raya dan jalan utama, bandaran serta negeri, selain membuat penyamaran sebagai penumpang bas

Menurutnya, pihaknya turut menggalakkan aduan awam dan bergambar menerusi aplikasi WhatsApp daripada orang ramai yang mengesan kesalahan jalan raya terutama pada musim perayaan.

“Apa yang kita perlukan adalah laporan ringkas aduan, tarikh dan masa, tempat kejadian, jenis kenderaan, nombor pendaftaran serta salinan foto atau video berkaitan dan orang ramai boleh menghantarnya ke 013-4498997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:14 AM