Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kami baru nak ‘tweet’ YB KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) mengenai perkara ini, tapi tak sangka belum sempat kami buat, insentif sudah diumumkan dulu semalam (kelmarin). Beliau bagaikan dapat mendengar rintihan kami.”

Itu reaksi atlet menembak negara Muslifah Zulkifli yang tidak dapat menyembunyikan rasa gembira selepas turut menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) apabila Menteri Belia dan Sukan kelmarin mengumumkan untuk memberikan ganjaran kepada pemenang perak dan gangsa Sukan SEA Singapura.

Jika sebelum ini hanya pemenang emas Sukan SEA menerima insentif SHAKAM sebanyak RM20,000, namun selepas mengambil kira sasaran keseluruhan pingat ditetapkan di Singapura tercapai, Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju memberikan RM3,000 kepada setiap atlet memenangi perak dan RM1,500 bagi perak seterusnya, manakala gangsa menerima RM1,000 dan RM500 untuk gangsa seterusnya.

Muslifah yang menjadi antara atlet memenangi perak terbanyak di temasya dwi tahunan itu bulan lalu dengan tiga pingat menganggap pemberian insentif yang tidak disangka itu sebagai ‘durian runtuh’.

“Memang gembira kerana tak sangka apabila dapat tahu pemenang perak juga dapat insentif SHAKAM. Tapi kalau nak diikutkan, memang wajar juga diberikan kepada pemenang perak dan gangsa kerana kali ini kita menetapkan sasaran jumlah pingat keseluruhan dan bukannya emas seperti sebelum ini.

“Jadi memang atlet yang dapat perak dan gangsa memberikan sumbangan dalam kejayaan keseluruhan ini.

“Bila kita bercakap pasal isu duit insentif ini memang agak sensitif bagi sesetengah pihak, tapi sekurang-kurangnya atlet yang menang perak dan gangsa dihargai, tidak kisah jika hanya diberikan insentif RM2,000 atau RM1,000 saja,” katanya yang sebelum ini sudah memenangi satu perak dan empat gangsa dalam empat temasya terdahulu.

Sejak Februari lalu, Harian Metro menyiarkan laporan khas mengenai desakan pemberian SHAKAM kepada pemenang perak dan gangsa di Sukan SEA dan ia mendapat pelbagai reaksi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia.

Sementara itu, pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying berasa gembira dengan pemberian SHAKAM untuk pemenang tempat kedua dan ketiga kerana ia memberi galakan kepada atlet negara.

“Kita perlu sedar atlet memenangi perak juga sudah bertungkus-lumus memberikan aksi terbaik,” katanya yang meraih dua perak di Singapura bulan lalu.

Pemain kelahiran Melaka itu berkata, pemenang perak atau gangsa ada kalanya hanya dibezakan dengan faktor nasib ketika beraksi.

“Saya sangat kecewa apabila meraih perak dalam acara beregu campuran (ketika bergandingan dengan Chan Peng Soon), tapi pemberian SHAKAM ini sudah pasti menaikkan semula motivasi kami serta atlet lain.

“Saya berharap pemberian SHAKAM untuk pemenang perak dan gangsa ini diteruskan di Sukan SEA akan datang. Saya juga tidak merasakan atlet lain akan berpuas hati jika hanya memenangi perak atau gangsa kerana jumlah insentif untuk emas mempunyai nilai yang sangat tinggi (RM20,000),” katanya.

Di Singapura, kontinjen neara melepasi sasaran 56 peratus jumlah pingat keseluruhan atau 184 pingat kesemuanya. Mereka meraih 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa untuk jumlah 186 pingat keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 9:00 AM