Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia mengkaji segala cadangan membabitkan pemberian imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet beraksi di Sukan SEA supaya pemberian insentif itu relevan dari masa ke semasa.

Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya mengambil kira cadangan supaya SHAKAM turut diberikan kepada pemenang pingat perak dan gangsa di temasya dwi tahunan itu.

“Kami memang sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak termasuk isu SHAKAM. Apa juga keputusan, perkara ini perlu dirujuk kepada Lembaga Pengurus terlebih dulu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelas Shapawi, insentif SHAKAM untuk atlet Sukan SEA baru saja dinilai semula yang menyaksikan pemenang pingat emas pada temasya sukan itu meraih insentif RM20,000 berbanding RM10,000 bermula Sukan SEA Myanmar.

Itu jelasnya, membuktikan MSN tidak pernah meminggirkan cadangan semua pihak termasuk isu terbaru membabitkan pemberian insentif kepada pemenang perak dan gangsa.

“Penilaian imbuhan (Sukan SEA) baru saja dikaji. Tapi seperti yang saya katakan tadi, kami akan mengambil kira semua pandangan,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan keluhan atlet serta bekas atlet yang mendesak supaya insentif SHAKAM turut diberikan kepada pemenang perak dan gangsa pada temasya Sukan Asia.

Keluhan mereka itu disokong beberapa persatuan sukan kebangsaan turut berpendapat sudah tiba masanya insentif SHAKAM dikaji semula.

Semalam, Chef de Mission negara ke Sukan SEA 2011 Palembang Datuk Syed Mustaffa Syed Ali turut bersetuju supaya SHAKAM diberikan juga kepada atlet memenangi perak dan gangsa.

Jelas Syed Mustaffa, insentif itu mungkin boleh menaikkan motivasi setiap atlet untuk bekerja lebih keras bagi mendapatkan pingat emas.

Beliau juga bersetuju sekiranya jumlah insentif itu lebih rendah berbanding temasya Sukan Komanwel atau Asia kerana sememangnya saingan Sukan SEA lebih rendah.

Sementara itu Ketua Kontinjen Sukan SEA 2015 Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, insentif SHAKAM ini akan dibincangkan dengan Shapawi pada masa akan datang.

“Sebenarnya susah untuk saya komen perkara ini kerana saya Ketua Kontinjen untuk Sukan SEA tahun ini.

“Setakat ini Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) menjelaskan temasya kali ini hanya tertumpu kepada atlet pelapis untuk mencari pengalaman,” katanya.

Ujar Norza, mereka hanya menumpukan terhadap perkara itu setakat ini tanpa membabitkan soal ganjaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:11 AM