MAYWEATHER meraikan kejayaan menewaskan Pacquiao.
MAYWEATHER meraikan kejayaan menewaskan Pacquiao.

Gelaran juara welterweight WBO milik Floyd Mayweather dilucutkan dan ia pantas mengejutkan arena tinju dunia.

Ia berlaku hanya selepas dua bulan peninju terkemuka Amerika Syarikat itu muncul pemenang dalam satu pertarungan mega menewaskan Manny Pacquiao yang menjana beratus juta dolar. Perlawanan itu menjadikan gelaran WBO semakin menjadi tumpuan utama dalam kalender tinju dunia.

Namun, persoalannya ialah mengapa Mayweather seolah-olah tidak mempedulikan kehilangan gelaran itu dan me­ngapa pelucutan berkenaan tidak memberi sebarang kesan kepada legasinya walaupun sedikit?

Insiden penarikan tali pinggang kemenangan itu akan diingati dalam sejarah kariernya yang masih lagi memegang rekod tanpa kalah dan meraih sumber pendapatan tertinggi dalam sejarah tinju dunia.

Dia menunjukkan kekayaannya dengan menyiarkan gambar kehidupan mewah di laman sosial Instagram.

Legasi Mayweather cukup besar dalam dunia tinju berdasarkan jumlah pendapatan yang diraihnya selain rekod tanpa kalah yang dipegang.

Baginya, apa yang berlaku ketika ini langsung tidak menjejaskan kariernya kerana dia melabel dirinya sebagai ‘peninju terbaik’ sambil percaya kejayaan sentiasa mengiringinya.

Legenda tinju, Muhammad Ali turut pernah melabel dirinya sebagai ‘terbaik’ dan biarpun terdapat beberapa hujah yang mengatakan juara era 60 dan 70-an itu adalah juara dunia sebenar namun Ali dan Mayweather sebenarnya berada pada tahap sama.

George Foreman berkata, ketika beliau menentang Ali, semuanya bukan kerana untuk memenangi tali pinggang kejuaraan atau menjadi juara dunia tetapi yang penting adalah menewaskan lawannya itu kerana itulah yang paling di­inginkan.

Ketika ini, Mayweather dilihat enggan mengambil berat soal penarikan semula tali pinggang kejuaraan kerana tali pinggang, gelaran juara dunia atau sebaliknya tidak penting. Semua itu sekadar memenuhi kehendak pasaran membabitkan siaran televisyen dan penonton sukan itu.

Perlawanan Mayweather menentang Pacquiao sebenarnya bukan untuk merampas tiga tali pinggang kategori welterweight yang dimiliki oleh Pacquiao tapi ia adalah pertarungan antara dua lelaki, cara mereka berlawan, cerita mengenainya dan gaya berlawan yang mana Mayweather berjaya menunjukkan kekuasaannya.

Mayweather boleh mengumumkan pertarungan seterusnya menentang Gennady Golovkin dari Kazakhtan dalam kategori middleweight dan walaupun tanpa tali pinggang, pertarungan itu pasti menarik tumpuan dunia dengan jutaan peminat akan menyaksikannya itu.

Anda mungkin berkata, Mayweather tidak menghiraukan gelaran atau tali pinggang itu kerana pada peringkat ini, fokusnya adalah untuk mengatasi rekod tanpa kalah 49-0 yang dilakar Rocky Marciano.

Kejayaan itu amat bernilai kerana ia menjadi ukuran dalam dunia tinju hari ini. Menjadi juara dunia memberi kesan kerana ia adalah sebahagian daripada gelaran terbaik dunia.

Ramai peninju boleh mengatakan bahawa mereka adalah juara dunia tapi bagaimana anda melihat kejayaan itu kerana terdapat perbezaan dalam juara dunia.

Bukan satu yang mengejutkan apabila Mayweather menunjukkan sikap tidak peduli dengan tali pinggang Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) namun mungkin dia me­ngambil sikap terbuka untuk ke divisyen lebih tinggi.

Gelaran welterweight yang dimenangi Mayweather ditarik balik oleh WBO susulan kegagalan menepati tarikh akhir yang ditetapkan untuk membayar USD200,000 (RM762,808) sebagai yuran penyertaan selepas merampas tali pinggang daripada Pacquiao di Las Vegas, 2 Mei lalu.

Mengikut peraturan WBO, peninju perlu membayar tiga peratus daripada pendapatan yang diraih untuk bersaing dalam pertarungan memburu gelaran dunia.

Peraturan WBO juga melarang mana-mana juara memenangi tali pinggang dalam kelas lain. Ketika ini, Mayweather turut memegang gelaran juara WBC dan WBA dalam kelas junior middleweight dan welterweight.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 12:18 PM