Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Bayan Lepas: Dua lelaki berusia 32 dan 54 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel di berek Balai Polis Bayan Lepas, 1 pagi tadi.

Difahamkan, berlaku gangguan bekalan elektrik di berek berkenaan menyebabkan juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipanggil untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata,j uruteknik TNB mendapati wayar kabel elektrik pada kotak kabel sudah dipotong dan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan di seluruh kawasan balai.

"Akhirnya, kami menahan dua lelaki yang sedang menggulung wayar kabel yang dicuri dan kami menemui satu gulung wayar kabel elektrik, tiga set fius, satu penutup fius dan alat pemotong seperti gergaji, pemotong besi dan penyambung wayar kabel.

"Hasil siasatan lanjut, lelaki berusia 54 tahun itu memiliki dua rekod jenayah lampau manakala seorang lagi suspek tiada rekod jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 11:21 AM