Anggota bomba memantau kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Anggota bomba memantau kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Tiada kebakaran baru pada kabel di Jambatan Pulau Pinang pagi tadi, sebaliknya ia hanya kepulan asap kesan sisa kebakaran semalam, dan sudah dipadamkan anggota bomba.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Naisonal Berhad (TNB) Datuk Ir Husaini Husin pada kenyataan berkata, hasil siasatan TNB, tiada kebakaran semula berlaku pada ketiga-tiga kabel 132kV yang terbakar semalam.

"Arus elektrik pada kabel dimatikan secara automatik ketika kebakaran semalam.

"Kumpulan teknikal TNB yang berada di lokasi mendapati, kepulan asap yang timbul pagi tadi dan dipadamkan bomba berpunca daripada sisa kebakaran semalam," katanya.

Beliau berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran pada kabel.

"Pasukan kami bersama PLUS dan bomba sentiasa memantau keadaan demi keselamatan pengguna jambatan berkenaan," katanya.

Terdahulu, pada jam 9.7 pagi tadi, JBPM Pulau Pinang menerima panggilan kebakaran di Kilometer 3.2 jambatan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Bandar Perda dengan bantuan BBP Paya Terubong dikerah ke lokasi.

"Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta agensi lain," katanya pada kenyataan.

Pada kejadian jam 4 petang semalam, kebakaran kabel elektrik itu mengakibatkan kesesakan teruk dari arah Pulau menuju Seberang Perai.

Sebelum ini, pada September 2010, kejadian sama berlaku apabila tiga kabel kuasa terbakar di Jambatan Pulau Pinang mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan pulau terutamanya di Bayan Lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:36 PM