GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Empat termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kabel di sebuah tapak pembinaan di Lebuh Bukit Jambul, Bayan Lepas di sini, 5 Januari lalu.

Tangkapan dilakukan susulan laporan yang dibuat lelaki yang juga penyelia tapak projek berkenaan berhubung kecurian kabel.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pada jam 9.30 pagi penyelia tapak projek berkenaan mendapati sebanyak 35 meter kabel di tapak pembinaan itu sudah hilang dipercayai dicuri.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis kemudian berjaya mengesan dan menahan kesemua suspek di Jalan Paya Terubong di sini, sehari kemudian.

"Semua suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu berusia antara 39 hingga 61 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki itu positif dadah serta mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, kerugian membabitkan sebanyak RM10,000 dan kesemua suspek direman selama lima hari berakhir hari ini.

"Kita mahu tegaskan bahawa polis akan memperincikan segala aktiviti pembelian barang tidak direkod di semua kedai menjual barangan lusuh.

"Sehubungan itu, semua premis ini dinasihati supaya lebih teliti ketika melakukan urusan membeli barangan lusuh, " katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:10 PM