Kuala Lumpur: Kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika (AS) disebabkan sentimen negatif pasaran dan tidak hanya memberi kesan kepada ringgit semata-mata kerana nilai mata wang lain turut berdepan masalah sama.

Ketua Ekonomi MIDF Investment, Maslynnawati Ahmad berkata, sejak krisis kewangan yang berlaku di Greece, kebanyakan negara mengalami kesan tidak langsung khususnya dari aspek nilai mata wang.

“Kejatuhan nilai ringgit boleh dikatakan adalah kesan daripada apa yang berlaku di Greece, namun secara keseluruhan bukan ringgit saja berdepan kemerosotan.

“Apa yang berlaku di Greece memberi kesan kepada pasaran di Eropah dengan kejatuhan nilai Euro dan seterusnya mula memberi kesan kepada ASEAN. Bukan ringgit saja yang menerima tempias kerana semua mata wang turut mendapat kesan daripada apa yang berlaku di pasaran Greece,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini penganalisis menyifatkan kejatuhan nilai ringgit adalah disebabkan sentimen negatif dalam pasaran dan tidak ada kena-mengena dengan faktor luaran lain.

“Analisis pasaran hanya mengaitkan kejatuhan ringgit dengan sentimen pasaran dan apa yang berlaku sebaliknya masih belum diketahui,” katanya.

Ringgit susut kepada paras terendah dalam tempoh 16 tahun berbanding dolar AS. Pada jam 5 petang, ringgit disebut pada 3.8050/8080 daripada 3.7760/7790 pada Jumaat lalu dan berlegar antara 3.8025 dan 3.8075 sepanjang sesi dagangan.

Nilai ringgit terus rendah berikutan kedudukan Greece yang semakin nyata akan keluar dari zon Euro setelah negara berkenaan mengundi untuk menolak terma penyelamatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif OSK Holdings Berhad (OSKH), Tan Sri Ong Leong Huat berkata, penurunan kadar ringgit ketika ini tidak akan memberi impak besar terhadap ekonomi negara memandangkan asas dan lanskap kewangan secara keseluruhannya yang masih kukuh.

Beliau berkata, sentimen ke atas prestasi wang ringgit ketika ini adalah bersifat sementara dan keadaan akan pulih tidak lama lagi.

“Sektor perbankan Malaysia adalah stabil jika dibandingkan dengan negara lain di dunia. Penurunan ringgit juga tidak akan memberi banyak kesan kepada segmen hartanah kerana kadar penetapan harga masih tidak berubah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 7:43 AM